SIBU: Pemimpin masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu menjadi agen penyampai dasar kerajaan yang lebih berkesan dalam mendepani era baharu pembangunan Sarawak yang dipacu oleh teknologi, ekonomi hijau dan inovasi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemimpin masyarakat bukan sahaja berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, malah perlu memastikan setiap dasar serta agenda pembangunan negeri difahami dengan jelas agar dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat akar umbi.
“Kegagalan memahami dasar kerajaan boleh menyebabkan berlakunya jurang kefahaman antara rakyat dengan kerajaan, sekali gus menjejaskan usaha membangunkan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam bersama ketua-ketua masyarakat Bahagian Sibu sempena Program Sarawakku Sayang, di sini malam tadi.
Tambah Abang Johari, ia merupakan era baharu dan masyarakat serta pemimpin masyarakat perlu memahaminya supaya mereka dapat menyampaikan mesej yang tepat kepada rakyat.

Katanya, pemimpin masyarakat perlu memahami dasar yang sedang kita laksanakan hari ini kerana ia dirangka bagi memenuhi tuntutan era baharu.
“Jika tidak, akan wujud jurang kefahaman antara rakyat dengan dasar kerajaan,” katanya.
Abang Johari turut menyeru agar pemimpin masyarakat membudayakan penggunaan teknologi digital serta menggalakkan rakyat meningkatkan tahap pendidikan dan menerima pembaharuan, khususnya dalam sektor pertanian yang kini semakin berteraskan teknologi moden.
Menurut beliau, pendidikan merupakan asas penting bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan, sejajar dengan dasar kerajaan negeri menyediakan pendidikan universiti percuma kepada semua anak Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata, kerajaan negeri terus memperkukuh kebajikan KMKK melalui kenaikan purata elaun bulanan sebanyak RM400 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Dengan pelarasan itu, elaun Temenggong meningkat kepada RM2,000 sebulan, Pemanca RM1,700, Penghulu RM1,500 dan Ketua Kaum RM1,300,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menghargai sumbangan KMKK sebagai rakan strategik kerajaan yang memainkan peranan penting menyampaikan dasar, menjaga keharmonian masyarakat serta membantu pelaksanaan agenda pembangunan negeri.


