KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah yakin kolaborasi terjalin bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) membantu meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak Sarawak secara menyeluruh.
Menurut Fatimah, kementeriannya menyambut baik kerjasama tersebut untuk melihat Sarawak diberikan keutamaan khususnya berkaitan isu kanak-kanak.
“Kolaborasi ini bukan sahaja perkara yang dekat di hati kita, malah begitu juga bagi mereka.
“Jadi kita bersedia untuk memberikan kerjasama untuk melihat kesejahteraan negeri Sarawak diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rombongan UNICEF Malaysia di bilik mesyuarat Melur Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Menurut Fatimah, perbincangan teknikal akan dijalankan selama dua hari bermula hari ini bagi membincangkan pelaksanaan kolaborasi dan implimentasi pada tahun depan.
“Antara perkara yang ditekankan adalah cadangan pelaksanaan Indeks Hak Kanak-Kanak serta memperkembangkan fokus terhadap bantuan perkhidmatan dalam isu dihadapi oleh kanak-kanak,” ujarnya.
Tambahnya, dimaklumkan bahawa UNICEF turut menyediakan peruntukan bagi mendapatkan data awal bagi kementeriannya menjalani projek bersama terutama berkaitan komuniti kanak-kanak.
“Melalui data diperolehi kita dapat menambah baik perkhidmatan terutama pendidikan, kesihatan, atau sesuatu patut diberi perhatian lebih,” ujarnya.
Sementara itu, rombongan kunjungan hormat UNICEF Malaysia diketuai oleh Ketua Dasar Sosial UNICEF Malaysia, Dr Juanita Vasques Escallon; Dasar Sosial, UNICEF Malaysia, Adam Ling dan Pegawai Pengurusan Pengetahuan, UNICEF Malaysia, Amarpreet Kaur.