Koleksi hidupan liar dirampas

MIRI: Sarawak Forestry Corporation (SFC) merampas kira-kira 20 bahagian hidupan liar termasuk beberapa spesies yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya dalam satu operasi di Niah pada Rabu.

SFC dalam kenyataannya berkata pemeriksaan oleh penguatkuasa SFC Wilayah Miri ke atas sebuah premis makan menemui kepala ikan gergaji, kulit kucing liar dan dua tengkorak primata, tiga tengkorak karnivor dan dua kura- kura terlindung.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1988.

“Siasatan masih dijalankan dan kami memandang serius perkara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton yang turut memberitahu pakar hidupan liar juga dipanggil untuk mengesahkan spesis tersebut.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan dalam usaha memerangi perdagangan hidupan liar.

“Penguatkuasaan kami terbukti efektif seperti yang dibuktikan menerusi beberapa kejayaan tangkapan dan kami akan terus berwaspada serta bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan khasnya untuk mengekang perdagangan hidupan liar” tegasnya.

Hotline SFC boleh dihubungi di talian 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu) dan 019-8290994.

Suara Sarawak