Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodi berkata, paku midin kini antara hidupan liar yang berpotensi dikomersialkan.
Ditambah Sri Aman menurutnya, mempunyai kawasan yang besar serta banyak tanah yang tidak diusahakan.

“Justeru, mungkin dengan ilmu yang dikongsikan oleh Jabatan Pertanian Sarawak berkenaan paku midin hari ini, tanah yang terbiar boleh diusahakan.
“Lebih-lebih lagi sebagai tumbuhan liar, tiada masalah untuk masyarakat memanfaatkannya.
“Tidak mustahil Sri Aman boleh menjadi pusat pengeluaran paku midin secara komersil suatu hari kelak.
Saya amat berharap ada dalam kalangan koperasi atau individu di sini boleh menjadi pengusaha paku midin dengan menghasilkan produk baharu berasaskan tumbuhan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Turun Padang Jom@COOP Mempromosikan Latihan dan Pendidikan Koperasi 2025 di Bahagian Sri Aman yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemula, hari ini.
Paku midin dahulu mungkin boleh dipandang sebelah mata, namun hari ini tegasnya mempunyai permintaan yang tinggi seperti dari Singapura.
“Bersesuaian dengan Sri Aman sebagai hab pertanian, fokus untuk mengangkat paku midin berada di landasan yang betul.
“Malah kini, dengan inovasi baharu seperti kimchi paku midin oleh Jabatan Pertanian Sarawak, permintaannya dijangka terus meningkat,” ujarnya.


