PADAWAN: Komuniti Tawang Baa di sini meraikan kejayaan projek penanaman padi menerusi Program Penuaian Padi Komuniti yang diadakan baru-baru ini.
Inisiatif hasil kerjasama antara Sarawak Skills dan Yayasan Hasanah itu bertujuan memperkasa komuniti luar bandar melalui aktiviti pertanian mampan, di samping menyokong usaha memperkukuh keselamatan makanan di negeri ini.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata projek tersebut memberi tumpuan kepada penanaman padi dengan pelan pembangunan mampan yang turut merangkumi usaha membangunkan inisiatif ekopelancongan.
Katanya, melalui inisiatif ini, empat belia dari kawasan Tawang Baa diberi peluang mengikuti latihan formal dalam penanaman padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah.
“Setelah tamat latihan, mereka akan kembali ke komuniti dan bertindak sebagai tenaga pengajar untuk membimbing serta berkongsi pengetahuan dengan penduduk tempatan dalam mengurus dan mengembangkan program penanaman padi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Sarawak Skills dan Yayasan Hasanah atas komitmen mereka dalam menyokong pembangunan kapasiti pertanian dalam kalangan komuniti.
Beliau juga memuji projek berkenaan kerana menyumbang kepada usaha memperkukuh pembangunan kapasiti industri padi di Sarawak, sambil memaklumkan bahawa empat belia daripada komuniti Tawang Baa telah dipilih untuk mengikuti Program Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 selama dua tahun di MADA.
Tambahnya, usaha seperti ini penting bagi memastikan kelestarian projek pertanian berasaskan komuniti, di samping memperkasa generasi muda dengan kemahiran yang bernilai.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan pengeluaran makanan tempatan tetapi juga membuka peluang kepada komuniti luar bandar untuk menjana pendapatan tambahan.
“Pada masa sama, ia memperkasa belia tempatan dengan kemahiran yang dapat memberi manfaat kepada komuniti mereka dalam jangka panjang,” ujarnya.
Sementara, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri memaklumkan program tersebut mencerminkan komitmen organisasi itu dalam melaksanakan inisiatif berasaskan komuniti yang mampu memberikan impak bermakna dan mampan kepada masyarakat setempat.
“Melalui kerjasama kami dengan Yayasan Hasanah serta penglibatan aktif komuniti Tawang Baa, kami berharap dapat memperkukuh kehidupan luar bandar sambil menyumbang kepada keselamatan makanan,” jelasnya.
Hallman turut merakamkan penghargaan kepada Willie atas sokongan berterusan serta kehadiran beliau dalam program tersebut sambil menyatakan bahawa sokongan seperti itu memberi dorongan kepada organisasi pelaksana dan juga komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada beberapa agensi kerajaan yang menyokong program berkenaan termasuk Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta Jabatan Pertanian Sarawak.
Menurut Hallman lagi, sokongan daripada agensi tersebut memainkan peranan penting dalam memudah cara pelaksanaan inisiatif penanaman padi serta memperkukuh aktiviti pertanian berasaskan komuniti di kawasan berkenaan.
Program itu turut menonjolkan komitmen tinggi komuniti Tawang Baa, yang penyertaan aktif mereka telah menyumbang kepada kejayaan projek tersebut.
Melalui inisiatif seperti ini, Sarawak Skills dan Yayasan Hasanah berharap dapat menggalakkan lebih banyak komuniti luar bandar meneroka bidang pertanian sebagai sumber kehidupan yang mampan, di samping menyokong usaha lebih luas dalam memperkukuh keselamatan makanan di Sarawak.

