KUCHING: Orang ramai berpeluang memenangi hadiah menarik berjumlah RM140,000 termasuk sebuah Isuzu D-Max menerusi peraduan ikonik Maggi, “Jom Masak & Menang Bersama”.
Dalam kenyataan rasmi Maggi, peraduan tersebut bermula 1 Mei lalu sehingga 30 Jun 2025.
“Kami memberi peluang kepada tukang masak di Sarawak untuk memenangi hadiah menarik termasuk sebuah Isuzu D-Max baharu, peralatan memasak, dan ganjaran e-dompet mingguan,” katanya.
Dengan setiap pembelian produk Maggi RM8 ke atas juga, pembeli boleh menyertai peraduan ini dengan menghantar resit masing-masing melalui aplikasi WhatsApp atau secara fizikal.
“Setiap penyertaan turut menyumbang 10 sen kepada PurpleLily Kuching, bagi menyokong program pemerkasaan wanita dan keluarga di seluruh negeri,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh berkata, menjelang sambutan Gawai Dayak tahun ini, Maggi jelasnya memberi penghormatan kepada tukang masak Sarawak, yang amat menghargai resipi turun-temurun mereka.
“Kempen Meraikan Tukang Masak di Sebalik Perayaan menonjolkan peranan istimewa yang dimainkan oleh tukang masak sebagai wira di sebalik tabir Gawai Dayak.
“Mereka menyediakan hidangan bermakna dengan penuh kasih sayang sambil memelihara warisan budaya Sarawak, bagi menyatukan orang ramai daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang melalui makanan,” tegasnya.
Kali ini, Maggi bekerjasama dengan dua cef inspirasi dari Malaysia Timur. Di Kuching, Cef Laura Sim Bara mengangkat warisan Iban dalam masakan.


Beliau menyulam rasa dan cerita melalui hidangan seperti sup ikan baung bersama-sama paku pakis — satu sajian yang akrab dengan komuniti di tebing sungai Sarawak. Asam Siok, hidangan tradisional Bidayuh berasaskan ayam dan nasi yang diperap dengan herba tempatan serta dimasak di dalam buluh, menghasilkan aroma berasap yang menggamit selera.
Katanya, memasak sempena Gawai Dayak membawa makna yang mendalam buat dirinya.
“Setiap hidangan menggambarkan kisah keluarga, asal usul dan hubungan kami dengan alam.
“Justeru, saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maggi untuk berkongsi keunikan budaya, sambil menginspirasi generasi baharu untuk menghargai semula rasa tradisional,” katanya.




