KUCHING: Usaha memperkasakan keupayaan kontraktor Bumiputera terus dipertingkat bagi memastikan mereka kekal berdaya saing serta mampu melaksanakan projek berskala besar dan berimpak tinggi di Sarawak.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS) kekal menjadi fokus utama kerajaan dalam meningkatkan penyertaan kontraktor Bumiputera melalui tender kompetitif.
Sejak dilaksanakan, katanya, seramai 456 kontraktor berdaftar di bawah PKBS, manakala 130 projek bernilai RM79.8 juta telah diluluskan untuk pelaksanaan.
“Pelbagai inisiatif turut diperkasa melalui kerjasama agensi berkaitan, termasuk Program Peningkatan Usahawan Bumiputera (PUTERA) yang kini diperluaskan kepada kontraktor PKBS dengan bantuan sehingga RM20,000 seorang. Seramai 80 peserta kumpulan pertama akan dipilih tahun ini.
“Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) pula terus berkembang dengan 25 pusat beroperasi di seluruh negeri membabitkan 6,119 peserta. Dua PIBU baharu di Bario dan Beluru mula beroperasi sejak Oktober,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19, hari ini.
Menurut Uggah, di bawah Skim Pembiayaan Kontraktor Kecil Bumiputera, sebanyak 44 kontraktor menerima pembiayaan RM6.7 juta sehingga November 2025, meningkat berbanding 46 kontraktor dengan RM5.8 juta tahun sebelumnya.
Program Pembangunan Vendor Perabot Bumiputera turut menunjukkan hasil apabila 34 vendor dilantik oleh STIDC bagi membekalkan perabot pejabat kerajaan bernilai RM5 juta setahun.
Sehingga suku ketiga tahun ini, kontraktor Bumiputera berjaya meraih 54.2 peratus projek Kerajaan Negeri, bersamaan RM2.7 bilion daripada keseluruhan RM4.97 bilion yang dianugerahkan.
Beliau berkata, kerajaan juga meneruskan penganjuran latihan berasaskan kompetensi, latihan umum dan kursus dalam talian. Sehingga November 2025, sebanyak 110 kursus telah dilaksanakan, memberi manfaat kepada 5,931 peserta.
“Dalam masa sama, kerajaan kini merangka Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta (PPP) untuk menangani cabaran pembiayaan infrastruktur berskala besar.
“Pelan ini menyediakan rangka kerja komprehensif yang merangkumi strategi, garis panduan institusi dan kaedah pelaksanaan bagi memperkasa kerjasama sektor awam dan swasta,” jelasnya.
Katanya, Kajian Pelan Induk PPP Sarawak 2026–2035 dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan strategik di seluruh negeri.


