Kontraktor perlu jaga imej kerajaan

BINTANGOR: Adun Meradong, Datuk Ding Koung Hiing mengingatkan kontraktor agar merancang dan melaksanakan projek yang diamanahkan dengan baik selain memastikan berkualiti dan siap dalam tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, sikap positif itu amat penting bagi mengelak keluhan rakyat sekali gus menjaga imej kerajaan yang memberi kepercayaan kepada mereka.

Sehubungan itu katanya, kontraktor menerima tawaran projek perlu melaksanakannya dengan sempurna di samping mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Aspek itu amat penting bagi membolehkan projek yang dilaksanakan itu berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Pada masa yang sama, saya juga ingin mengingatkan agensi pelaksana supaya sentiasa bertindak tegas bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan itu siap mengikut jadual.

“Pemimpin peringkat akar umbi termasuk ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berperanan penting sebagai mata dan telinga kerajaan. Saya juga berharap mereka dapat membantu memantau bagi memastikan perlaksanaan setiap projek berjalan lancar,” katanya ketika diminta mengulas pada lawatan dan pemantauan projek RTP Dun N.46 Meradong anjuran Pusat Khidmat Dun Meradong, semalam.

Dalam siri pemantauan itu beliau melawat Sekolah Kebangsaan (SK) St. Augustine, SK Bandar Bintangor, Christ The King Catholic Church, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SMK Kai Chung, Dewan Serbaguna SMK Bandar Bintangor, SJK (c) Kai Chung dan Tabika Methodis Bintangor.

Ding berkata, Kerajaan Sarawak prihatin dengan keperluan rakyat dengan menyediakan dana yang besar melalui RTP untuk membina dan menaik taraf infrastruktur asas terutama di kawasan kampung.

Dalam pada itu, RTP diakui membantu menyegerakan pelaksanaan pelbagai projek keperluan asas di luar bandar, menaiktaraf jalan dalam kampung dan pembinaan dewan-dewan masyarakat yang baharu.

Malah, Sarawak adalah satu-satunya negeri dalam Malaysia yang mempunyai program pembangunan luar bandar yang unik, menggunakan sepenuhnya peruntukan negeri.

Selain RTP, peruntukan besar yang disediakan Sarawak dalam Belanjawan Negeri lepas membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memperkasakan pembangunan luar bandar demi kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

“Justeru, kita perlu menghargai sumbangan kerajaan ini di samping mempunyai semangat kekitaan dan kepunyaan yang tinggi,” ujarnya.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Sarikei dan Majlis Daerah Meradong Julau (MDMJ) yang bersama dalam lawatan kali ini. Syabas dan tahniah atas tindakan proaktif dalam memastikan projek RTP di kawasan ini siap mengikut jadual,” katanya.

Hadir sama, Jurutera JKR Bahagian Sarikei, Baharin Madon, Jurutera MDMJ, Robin Roy dan Pemanca Yii Hee Sieng.