KUALA TERENGGANU: Seorang kontraktor pendawaian kerugian RM50,400 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan tender tidak wujud.
Mangsa berusia 52 tahun menerima e-mel pada 14 Julai lalu mengandungi sebut harga pemasangan lampu jalan solar LED sebelum dihubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai petugas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Suspek kemudian menawarkan kontrak membekalkan tiga unit alat jana kuasa mudah alih jenis Anker Solix F3800 bernilai RM16,800 seunit serta memperkenalkan seorang lagi individu yang menyamar sebagai pembekal bagi melengkapkan urusan pembelian.
Mangsa membuat dua pembayaran berjumlah RM50,400 ke dua akaun berbeza pada 23 Julai menggunakan wang perniagaan sebelum menyedari ditipu apabila gagal menghubungi kedua-dua suspek seperti dilapor Bernama.
Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



