ARTIKEL

Konvensyen mini KIK platform perkukuh budaya inovasi perkhidmatan awam Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Konvensyen Mini Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan perkhidmatan awam, khususnya melalui pemanfaatan idea kreatif dan penyelesaian berasaskan data bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran program tersebut bukan sekadar pertandingan inovasi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada perubahan cara kerja penjawat awam ke arah yang lebih digital, kreatif dan berasaskan teknologi.

Menurut beliau, pendekatan KIK selari dengan usaha Kerajaan Sarawak mempercepat agenda transformasi digital negeri, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan serta pembuatan keputusan berasaskan data.

“Konvensyen ini memberi ruang kepada penjawat awam untuk menjana idea baharu yang bukan sahaja kreatif, malah praktikal serta berasaskan data. Ia menyokong aspirasi pendigitalan ekonomi dan penerapan AI seperti yang ditekankan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Mini KIK 2026 yang berlangsung di Hotel Pullman hari ini.

Program dua hari itu buat julung kalinya dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, dengan penyertaan 17 pasukan melibatkan lebih daripada 123 peserta dari seluruh negeri.

Dalam pada itu, Abdul Karim memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak menumpukan kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada aspek kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pembangunan yang seimbang.

Beliau berkata, penggunaan teknologi digital dan AI perlu dimaksimumkan agar setiap dasar yang dilaksanakan dapat diperkukuh dengan data yang tepat, sekali gus meningkatkan keberkesanan pelaksanaannya di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, tema konvensyen pada tahun ini iaitu “From Ideas to Impact” amat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam memastikan setiap idea inovatif yang dicetuskan tidak terhenti pada peringkat perbincangan, sebaliknya diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

Abdul Karim turut menekankan bahawa nilai seperti integriti, profesionalisme, kerja berpasukan dan rasa tanggungjawab perlu terus diperkukuh bagi memastikan budaya inovasi dapat berkembang secara mampan dalam setiap agensi kerajaan.

Tambah beliau, inovasi yang dihasilkan melalui penyertaan KIK wajar dikongsi serta diperluaskan penggunaannya merentasi jabatan agar impaknya lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada organisasi tertentu sahaja.

Beliau berharap agar semua projek yang dipersembahkan dalam konvensyen tersebut tidak terhenti sebagai pencapaian pertandingan semata-mata, sebaliknya dapat diangkat dan dimanfaatkan oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, NGO serta komuniti setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU