KOTA SAMARAHAN: “Hari ini kami konvo tanpa dia.” Itulah luahan penuh emosi keluarga mendiang Deadre Sadai Janting ketika hadir menerima anugerah khas bagi pihak graduan Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Mukah (PMU) yang meninggal dunia pada 1 Julai 2025.
Detik yang sepatutnya menjadi kenangan manis buat Deadre bertukar sayu apabila bapanya, Janting Anggai bersama-sama ahli keluarga hadir dari Bintulu untuk menerima pengiktirafan tersebut pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sarawak 2026 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, baru-baru ini.
Kakaknya, Flora Sunggau Janting berkata, kejayaan mendiang menamatkan pengajian tetap menjadi kebanggaan keluarga walaupun tidak berpeluang meraikannya bersama-sama insan tersayang.


“Mendiang seorang yang periang dan rajin, terutama dalam menuntut ilmu. Mendiang juga mempunyai banyak impian dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya, Deadre bukan sahaja rajin belajar, malah bijak mencari pendapatan sendiri menerusi perniagaan kecil-kecilan.
Jelasnya, mendiang seorang yang bijak mencari pendapatan dan mempunyai kebolehan dalam berniaga, termasuk mencari barangan untuk dijual sebelum menyimpan hasil yang diperoleh.
“Mendiang mempunyai banyak impian untuk dicapai, termasuk menerokai pelbagai tempat, namun pengajiannya terhenti setakat peringkat diploma,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Flora berkongsi, sikap mendiang yang tidak mudah menghukum orang lain serta terbuka menerima pandangan dan teguran merupakan antara perkara yang paling dikenang oleh keluarga.
Ujarnya, sifat tersebut menjadi antara nilai yang ditinggalkan mendiang kepada keluarga dan mereka yang pernah mengenalinya.
“Saya berharap kisah kehidupan mendiang dapat menjadi inspirasi kepada orang lain untuk terus mengejar impian, menghargai keluarga dan berbuat baik kepada orang di sekeliling,” tambahnya.
Pada masa sama, ibunya, Nanti Rampai berkongsi, mendiang pernah membeli sebuah kereta menggunakan hasil pendapatannya sendiri bagi memudahkan urusan keluarga, termasuk sebagai persediaan untuk menghadiri majlis konvokesyen.
Dalam pada itu, kejayaan mendiang menamatkan pengajian di PMU serta penerimaan anugerah khas berkenaan menjadi penghormatan terakhir buat seorang graduan yang meninggalkan kenangan tersendiri dalam kalangan warga institusi tersebut.
Walaupun tidak berpeluang menyarungkan jubah dan menerima sendiri anugerah berkenaan, pencapaian mendiang tetap diraikan keluarganya pada hari yang sepatutnya menjadi kemuncak perjalanan pendidikannya.
Bagi keluarga, anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya menjadi simbol kenangan terhadap seorang anak dan adik yang mempunyai pelbagai impian, termasuk melanjutkan pengajian, melancong, membina kehidupan sendiri serta membantu keluarganya.
Impian mendiang mungkin terhenti setakat peringkat diploma, namun kejayaan menamatkan pengajian di PMU akan terus menjadi kenangan yang dibawa pulang keluarganya pada majlis konvokesyen tersebut.



