KUCHING: Harga bahan binaan dan caj perkhidmatan dijangka terus meningkat susulan pelaksanaan rasionalisasi diesel yang masih memberi kesan kepada pengusaha lori serta kontraktor yang belum menikmati subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Setiausaha Agung Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Jezamine Dior berkata, ketidakpastian mengenai pelaksanaan subsidi diesel menyebabkan kos operasi meningkat, sekali gus memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan.
“Masih ramai tidak pasti mengenai pelaksanaan rasionalisasi diesel dan mereka memerlukan penjelasan daripada pihak berkuasa,” katanya selepas menghadiri Taklimat Khas Bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Antara isu utama dibangkitkan ialah kelayakan mendapatkan Fleet Card di bawah SKDS, termasuk beberapa jenis lori serta kenderaan pikap dan jip milik syarikat Sendirian Berhad yang masih tidak memenuhi syarat kelayakan.
Semua perkara itu telah dikemukakan kepada KPDN bagi membolehkan kementerian memahami cabaran sebenar yang dihadapi komuniti perniagaan di Sarawak.

Jezamine berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak berdepan pelbagai cabaran susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar menerusi SKDS.
Beliau berkata, faktor geografi Sarawak menyebabkan kebanyakan perniagaan bergantung kepada pengangkutan darat, sekali gus menjadikan pelaksanaan dasar itu memberi kesan langsung kepada operasi harian.
“Ahli kami turut membangkitkan isu kuota Fleet Card, kelewatan kelulusan permohonan serta keperluan memperluas kelayakan kepada kenderaan syarikat seperti pikap dan jip yang digunakan untuk logistik dan perdagangan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, DUBS akan terus menjadi penghubung antara kerajaan dan komuniti perniagaan bagi memastikan setiap dasar dapat difahami dengan jelas, selain menyalurkan maklum balas kepada pihak berkaitan.
Taklimat itu disampaikan Ketua Seksyen Perdagangan Dalam Negeri KPDN Sarawak, Jacqueline M. Jagang dan Ketua Unit Bekalan KPDN Sarawak, Mohamad Zawawi, serta dihadiri wakil pelbagai pertubuhan perniagaan di Sarawak.


