GEDONG: Modal permulaan mencecah puluhan ribu ringgit tetapi untuk mengurus dan menuai hasil amat mudah, demikian jelas pengusaha rumah sarang burung walit, Lapau Tagok berusia 40 tahun.
“Ia lebih mudah daripada memelihara ayam kampung dan itik serati,” kata Lapau yang mengusahakan rumah sarang burung walit di Kampung Kepayang, Ulu Simunjan sejak enam tahun lalu.
Pada mulanya, dia hanya membina rumah sarang burung walit itu sekadar cuba-cuba bagi mengisi masa lapang ketika tidak melakukan kerja di ladang sawitnya di kawasan berhampiran. Dia pernah hampir putus asa kerana burung walit tidak singgah di rumah berkenaan, sebaliknya hanya terbang berhampiran rumah sarang burung berkenaan. Tiada tanda menunjukkan burung walit itu akan singgah di rumah burung walitnya.
Lapau banyak berusaha untuk menarik burung walit singgah dan bermalam dengan memasang alat bunyi elektronik yang menyiarkan bunyi suara burung walit berkicauan. Setelah bersabar untuk beberapa bulan, sekumpulan burung walit kelihatan singgah dan bermalam di rumah berkenaan.
“Sejak itu rumah itu dijadikan istana persinggahan burung walit pada setiap malam. “Beberapa bulan selepas itu, saya cuba memeriksa di dalam rumah berkenaan sama ada burung walit ini menghasilkan sarang atau tidak.
“Wah! Amat terperanjat saya apabila melihat beberapa keping sarang burung walit melekat di dinding di atas bumbung rumah burung ini,” kata Lapau. Sarang burung yang telah dibersih itu dijualnya kepada seorang peraih sarang burung di bandar berhampiran dengan harga semasa antara RM3,400 dan RM4,800 sekilogram.

Bagaimanapun harganya berdasarkan mutu atau gred sarang burung berkenaan. “Bagaimanapun, hasilnya mengikut musim kerana tabiat burung walit yang membina sarang mengikut musim dan keadaan,” katanya.
Sejak itu, Lapau terus aktif mengusahakan rumah sarang burung walit sehingga mendorongnya membina lima lagi rumah sarang burung di kawasan itu. Empat rumah sarang burung telah membuahkan hasil, manakala dua lagi belum mendatangkan hasil kerana masih dalam pembinaan.
Lagipun pembinaan dua rumah sarang burung walit ini tergendala berikutan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Keadaan ini menyebabkan kontraktor yang membina rumah berkenaan berhenti melakukan pekerjaan berikutan ketiadaan pekerja.
Menurut Lapau, untuk membina sebuah rumah sarang burung walit, dia perlu membelanjakan sehingga RM30,000 mengikut saiz bangunan dan jenis serta kualiti perkakas rumah yang digunakan.
Setiap rumah sarang burung walit dipasang alat bunyi elektronik yang menyiarkan bunyi burung walit berkicauan. Alat bunyi ini mampu menarik minat sekumpulan burung walit singgah dan menetap di rumah berkenaan pada waktu malam.
Manakala pada waktu siang burung-burung berkenaan akan terbang berkeliaran dan untuk mencari makanan.
Kata Lapau, setiap rumah sarang burung walitnya mampu menghasilkan satu hingga dua kilogram sarang burung walit dalam tempoh sebulan atau lebih. Ditanya masalah dan cabaran dalam mengusahakan rumah sarang burung walit katanya, “Masalah dan cabaran yang selalu saya alami apabila sarang burung walit yang telah melekat pada dinding rumah ini diganggu makhluk perosak seperti cicak, semut dan burung hantu.”
“Makhluk perosak ini sering menyebabkan keadaan sarang rosak, dan ada masanya saya hanya mampu mengutip hasil dalam jumlah yang kecil iaitu tidak sampai 300 gram dalam satu masa.”
Menurut Lapau, dia belum bercadang untuk mengupah orang lain membantunya mengurus dan mengutip sarang burung berkenaan. “Ini kerana pekerjaan ini amat mudah dan saya hanya mendapat bantuan tenaga daripada empat anak dan isteri saya, Mini Empaha. “Saya amat menghargai sokongan padu dan kerjasama semua anak dan isteri saya dalam mengusahakan rumah sarang burung dan aktiviti ekonomi lain,” katanya.
Menurut Lapau, meskipun usaha memelihara burung walit ini dianggap mudah atau lebih mudah daripada memelihara kucing, namun seseorang itu perlu banyak bersabar.
Katanya, untuk memelihara kucing atau ayam kampung, seseorang itu dapat menjangka kucing atau ayam itu balik apabila diberi makan. “Namun burung walit, kita tidak dapat menjangka sama ada ia balik semula ke rumah atau adakah ia perlu makanan.
“Ini kerana kita tidak perlu menyediakan makanan untuknya, bukan seperti kucing yang perlukan makanan seperti ikan atau daging atau tidak seperti ayam yang perlukan makanan seperti jagung, hampas santan kelapa,” katanya.
Dahulu, sarang burung walit terkenal sebagai santapan golongan bangsawan atau golongan mewah kerana mempunyai khasiat yang tinggi. Mungkin disebabkan itu harga sarang burung begitu tinggi. Bagaimanapun pada masa ini sesiapa sahaja boleh menikmati sarang burung walit apabila bahan ini boleh djadikan minuman ringan dan sedia dibeli di dalam tin di pasar raya.
Bukan itu sahaja, sarang burung walit kini juga dijadikan bahan untuk membuat kosmetik kerana khasiatnya yang tinggi, selain baik untuk penjagaan kulit. Selain mengusaha rumah sarang burung walit, Lapau turut mengusahakan ladang kelapa sawit secara komersial.
