LUNDU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak mempergiat usaha mendekati masyarakat luar bandar menerusi program advokasi kepenggunaan, termasuk pemeriksaan ketepatan pam minyak serta jualan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, DatukAhmad Nadzri Mohd Hassan berkata, pendekatan secara bersemuka itu penting bagi memastikan masyarakat memahami hak mereka sebagai pengguna selain mengetahui saluran yang boleh digunakan sekiranya berdepan isu perdagangan.
Katanya, Program Kenyalang Jelajah dan Jangkauan Pengguna sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Tebingan Sungai Lundu menjadi platform berkesan untuk menyampaikan maklumat berkaitan kepenggunaan secara terus kepada penduduk.
“Program sebegini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai hak pengguna, malah meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap penipuan, membeli secara bijak serta memahami peranan KPDN dalam melindungi kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program anjuran bersama KPDN Sarawak, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Pejabat Daerah Lundu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu itu turut menampilkan aktiviti pemeriksaan ketepatan pam dispenser di stesen minyak Petronas dan Shell di Lundu.
Pemeriksaan berkenaan menggunakan tangki piawai berkapasiti 10 liter bagi memastikan jumlah bahan api yang dikeluarkan adalah selaras dengan sukatan yang tertera pada pam, sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna ketika membuat pembelian.
Dalam pada itu, KPDN Sarawak turut menganjurkan Program Jualan Rahmah MADANI bertemakan HKHM 2026 yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas dengan pengurangan harga sehingga 30 peratus.
“Inisiatif ini dilihat memberi manfaat khusus kepada penduduk setempat, terutama golongan luar bandar, dengan menyediakan peluang mendapatkan barangan harian pada harga lebih berpatutan di samping membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Program berkenaan turut disusuli aktiviti khidmat komuniti menerusi gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Pantai Pandan, Kampung Siar dengan kerjasama Pejabat Daerah Lundu, sebagai usaha memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.
Program turut membawa mesej patriotisme sempena bulan kemerdekaan dengan menggalakkan masyarakat menghayati nilai perpaduan, menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta bersama-sama memainkan peranan membina komuniti yang bertanggungjawab dan sejahtera.


