ARTIKEL

Datuk Azman Adam (kiri) dan Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin (dua kiri) pada sidang media.

KPDN Pasang CCTV Di Stesen Minyak Diragui Transaksi Pembelian Bahan Api

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memulakan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak yang diragui transaksi pembelian bahan api dalam usaha membendung penyelewengan.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN Datuk Azman Adam berkata, ia merupakan langkah strategik kementerian untuk memantau sekiranya berlaku ketirisan bahan api selain memperoleh maklumat daripada operasi yang dijalankan.

Selain itu, pegawai penguat kuasa KPDN termasuk pegawai berpakaian biasa juga ditempatkan di stesen minyak yang menjalankan aktiviti transaksi bahan api meragukan.

“Sekiranya kita dapati peningkatan tersebut berlaku akibat daripada kerjasama ataupun pelibatan daripada stesen minyak, kita tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan.

“Kalau kita dapati stesen minyak ini sengaja menjual kepada pihak-pihak yang tidak layak, menjual lebih daripada kuantiti yang sepatutnya serta terlibat dengan penyelewengan, kita akan ambil tindakan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Stesen Minyak Petronas Tasik Biru, di sini hari ini.

Datuk Azman Adam (kanan) dan Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin (dua kanan) memeriksa banting had pengisian diesel yang dikuatkuasakan di Labuan, Sabah dan Sarawak.

Turut hadir, Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin.

Azman berkata, operator stesen minyak yang didapati bersalah di bawah akta terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjara tiga tahun untuk kesalahan pertama, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan membuat siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA/Akta 613).

Jelasnya, ini menunjukkan ketegasan kerajaan kerana bahan api ini dikhususkan untuk rakyat Malaysia dan ia tidak sepatutnya disalahgunakan.

Dalam pada itu, Azman berkata, tiada kekurangan bekalan bahan api di seluruh negara, meskipun terdapat kebimbangan berkaitan ketersediaan di beberapa stesen minyak.

Katanya, kerajaan memantau rapat pengagihan bahan api dan corak permintaan setiap hari, sambil menegaskan tahap bekalan semasa masih mencukupi.

“Setakat ini, kita tidak menghadapi sebarang isu kekurangan bekalan dalam negara. Pengguna tidak perlu bimbang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU