SPAOH: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) digesa mencari mekanisme terbaik bagi menangani cabaran penyakit yang terus membelenggu industri lada, sekali gus membolehkan pekebun di Sarawak meningkatkan skala penanaman komoditi berkenaan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masalah penyakit menjadi antara faktor utama yang menyebabkan tanaman lada masih sukar dikembangkan secara besar-besaran meskipun Sarawak mempunyai kawasan tanah yang luas untuk pembangunan pelbagai komoditi.
“Lada masih sukar ditanam dalam skala besar kerana risiko serangan penyakit.
“Saya minta KPK membuat kajian bagi menyelesaikan masalah penyakit supaya pekebun lada kita dapat menanam lebih banyak pokok lada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kemampanan Industri Lada di Dewan Masyarakat Spaoh di sini, hari ini.
Jelasnya, selain penyakit, aspek turun naik harga pasaran serta peningkatan kos baja turut memberi tekanan kepada pekebun lada.
Beliau turut memuji ketabahan pekebun lada di Sarawak yang terus mempertahankan industri berkenaan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Dalam pada itu, Uggah mahu KPK memperjelas dasar berkaitan lada Sarawak bagi memastikan kualiti, identiti dan nilai premium komoditi berkenaan terus dilindungi daripada dieksploitasi.
Katanya, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi kualiti dan identiti lada, selain berpotensi menghasilkan produk premium untuk pasaran khusus bernilai tinggi.
Uggah turut menegaskan Kerajaan Sarawak terus menyokong usaha KPK dan MPB dalam memperkukuh pembangunan industri lada di negeri ini.
Menurutnya, Betong kini mempunyai 5,154 pekebun lada dengan keluasan tanaman sebanyak 1,124.57 hektar, sekali gus menunjukkan kepentingan komoditi itu kepada ekonomi dan pendapatan masyarakat setempat.
Uggah menambah, dalam Belanjawan Sarawak 2026, RM34.2 juta diperuntukkan bagi infrastruktur, kemudahan dan logistik pertanian termasuk RM11 juta bagi pembangunan jalan ladang.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), melalui Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK), sejumlah tiga projek telah dilaksanakan di Parlimen Betong melibatkan keseluruhan lapan kilometer jalan dengan kos RM1.212 juta dan memberi manfaat kepada 52 pekebun.
Pada 2025, seramai 30 pekebun kecil di Nanga Jelau, Jelau Atas, Batu Lintang dan Graji Atas menerima bantuan berjumlah RM360,000 atau bersamaan RM12,000 bagi setiap pekebun.
Bantuan berkenaan merangkumi input bagi penanaman 200 pokok baharu serta penggunaan tiang PVC sebagai alternatif kepada kayu belian yang lebih mahal.
Menerusi pelaksanaan Skim Tanaman Lada Baharu, Skim Tanaman Lada Matang dan Pembangunan Pengeluaran Lada Premium di bawah RMK-12 melibatkan peruntukan keseluruhan melebihi RM7.5 juta bagi kawasan seluas 282.8 hektar.
Sepanjang tempoh RMK-12 juga, lima rumah panjang di kawasan Betong telah dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Lada Premium (PPLP).
la melibatkan rumah panjang di kawasan Spak, Ulu Layar dan Mutok Tabau.



