KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia( KPM) menegaskan sesi persekolahan berjalan seperti biasa serta tiada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan ketika ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata KPM prihatin terhadap semua kegusaran yang dibangkitkan masyarakat berhubung berita yang tular mengenai kemungkinan PdPR akan dikuatkuasakan.
“Justeru, kami ingin memaklumkan bahawa pada masa ini, sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Tiada sebarang ketetapan dibuat berkaitan pelaksanaan PdPR,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, keutamaan KPM adalah memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas serta pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara.
Terdahulu, tular bahawa PdPR akan dilaksanakan ekoran cadangan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang akan diputuskan Kabinet pada Selasa sebagai langkah penjimatan berikutan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun, KPM dengan tegas menafikan perkara tersebut menerusi kenyataan berkenaan.
Untuk rekod, sesi PdPR pernah dilaksanakan di Malaysia kira-kira dua tahun semasa dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19 sekitar lima tahun lalu.


