KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mempergiat usaha menggalakkan pasangan berkahwin mendapatkan zuriat susulan kadar kesuburan negara menunjukkan trend penurunan, tegas Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, pelbagai program dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menangani cabaran berkenaan.
Katanya, kerajaan juga tidak menafikan hak individu yang memilih untuk tidak mempunyai anak.
“Namun, sebagai kerajaan, kita perlu menggalakkan mereka yang ingin mendapatkan anak.
Bagi mereka yang sukar mendapatkan zuriat, kita mempunyai program tertentu untuk membantu, sama ada lelaki mahupun wanita.
“Ada juga masalah kesuburan yang dihadapi lelaki dan wanita, jadi antara usaha yang kita laksanakan bagi mengatasi masalah kesuburan termasuk menyediakan bantuan menerusi program tertentu di bawah LPPKN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional bagi Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Hotel Pullman Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, kerajaan akan terus mencari pendekatan untuk membantu pasangan mendapatkan zuriat selain menyokong wanita berkeluarga yang ingin bekerja.
“Kadang-kadang wanita terpaksa menjaga ibu bapa di rumah dan kita tidak mahu mereka ketinggalan.
Ada yang tidak berani mempunyai ramai anak kerana perlu mencari rezeki untuk keluarga.
“Sebab itu kita melaksanakan program seperti ini untuk melahirkan penjaga yang berkualiti dan profesional sekali gus memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak ke taska atau mendapatkan khidmat penjaga terlatih,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, Nancy menjelaskan data kelahiran yang diterima daripada hospital tidak mengambil kira status perkahwinan pasangan kerana perkara itu bukan di bawah tanggungjawab hospital.
“Apa yang penting anak itu dilahirkan dengan selamat dan kami akan mendapat data tersebut… cuma, kadar kelahiran kini semakin berkurangan disebabkan tumpuan lebih diberikan kepada kerjaya serta faktor ekonomi dan kos membesarkan keluarga.
“Sebagai kerajaan, kita tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu mencari jalan membantu pasangan yang menghadapi masalah kesuburan. Selebihnya, terpulang kepada mereka untuk mengusahakannya,” jelas beliau lagi.
Untuk rekod, kadar kesuburan negara telah menurun daripada 2.93 anak bagi setiap wanita pada tahun 2000 kepada purata 1.60 anak pada tahun 2024.
Perubahan ini juga memberi kesan kepada struktur keluarga dan meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan jangka panjang. — NUR HAZIRAH SHUKUR/HASNA’ QURRATU AIN (Pelatih UNIMAS)



