MALAYSIA sememangnya berisiko berdepan dengan fasa kedua krisis tenaga yang jauh lebih membimbangkan berbanding gelombang pertama yang berlaku sebelum ini.
Jika pada peringkat awal krisis dunia lebih tertumpu kepada kenaikan harga minyak dan kos tenaga global, kini ancaman sebenar mula beralih kepada gangguan rantaian bekalan bahan mentah dan industri bahan suapan yang boleh menjejaskan keseluruhan operasi sektor ekonomi negara.
Situasi ini menunjukkan dunia sedang memasuki satu bentuk krisis ekonomi baharu yang bukan sahaja melibatkan kenaikan kos, tetapi juga kekurangan bekalan fizikal yang semakin serius.
Pada peringkat awal konflik geopolitik dunia, kesan utama yang dirasai ialah peningkatan harga minyak mentah global akibat gangguan pengeluaran dan ketidaktentuan pasaran tenaga antarabangsa.
Malaysia masih mampu mengawal keadaan tersebut melalui pemberian subsidi bahan api yang besar bagi mengelakkan berlakunya inflasi mendadak dalam negara.
Kerajaan dilaporkan menanggung subsidi hampir RM4 bilion sebulan untuk memastikan harga minyak domestik kekal stabil dan pengguna tidak berdepan dengan kenaikan harga yang terlalu tinggi.
Langkah tersebut berjaya mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat dalam jangka pendek serta membantu syarikat mengekalkan operasi perniagaan masing-masing.
Namun begitu, subsidi sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah sebenar yang sedang berlaku di peringkat global.
Krisis tenaga yang berlaku kini semakin berkembang kepada masalah rantaian bekalan antarabangsa apabila banyak negara mula mengalami kekurangan bahan mentah sektor industri, bahan asas petrokimia serta gangguan logistik antarabangsa.
Malaysia, sebagai negara perdagangan terbuka, sangat bergantung kepada import bahan perantaraan dan bahan suapan untuk sektor pembuatan, petrokimia, automotif, elektronik serta pelbagai industri lain.
Apabila rantaian bekalan dunia mula terganggu, banyak syarikat di Malaysia berdepan kesukaran mendapatkan bekalan baharu meskipun permintaan pasaran masih tinggi.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila kebanyakan syarikat kini hanya bergantung kepada stok simpanan sedia ada yang dimiliki sejak beberapa bulan lalu.
Apabila stok tersebut semakin berkurangan menjelang pertengahan tahun, syarikat perlu mendapatkan bekalan baharu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak stabil.
Walaupun terdapat sumber alternatif lain, proses penghantaran memerlukan tempoh yang lebih lama serta tidak mampu memenuhi keperluan industri dalam tempoh segera.
Situasi ini menyebabkan risiko gangguan pengeluaran semakin meningkat, khususnya dalam sektor pembuatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dalam ekonomi, keadaan ini dikenali sebagai kejutan penawaran, iaitu keadaan apabila pengeluaran ekonomi menurun bukan disebabkan oleh kekurangan permintaan pengguna, tetapi akibat kekurangan input pengeluaran.
Apabila kilang tidak memperoleh bahan mentah yang mencukupi, operasi pengeluaran akan mula dikurangkan secara berperingkat-peringkat.
Pada peringkat awal, syarikat mungkin hanya mengurangkan waktu kerja lebih masa dan bilangan syif pekerja.
Namun, jika keadaan berlarutan, syarikat mungkin terpaksa mengurangkan tenaga kerja atau menghentikan operasi buat sementara waktu bagi mengawal kos.
PKS dijangka menerima kesan paling ketara kerana mereka mempunyai modal pusingan yang lebih kecil dan stok simpanan yang lebih terhad berbanding syarikat besar.
Banyak PKS hanya mempunyai baki bekalan untuk tempoh satu hingga dua minggu sahaja.
Jika bekalan baharu terus terganggu, banyak operasi perniagaan kecil boleh lumpuh dalam tempoh singkat.
Selain itu, keadaan ini turut menjelaskan mengapa Kerajaan Malaysia mula mempertimbangkan pengurangan atau rasionalisasi subsidi minyak kepada golongan T15 dan T20.
Perbincangan tersebut semakin hangat kerana kerajaan kini bukan sahaja berdepan tekanan fiskal yang tinggi, tetapi turut mempertimbangkan faktor keselamatan tenaga negara dalam jangka panjang.
Dalam keadaan bekalan global yang semakin terhad, kerajaan perlu memastikan penggunaan domestik dapat dikawal supaya stok negara kekal mencukupi.
Sebelum ini, Malaysia banyak memperoleh bekalan minyak dan petroleum bertapis dari Asia Barat seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Kedudukan geografi yang lebih dekat membolehkan penghantaran bekalan dilakukan dengan lebih cepat dan stabil.
Namun, konflik yang berlaku di Asia Barat mengganggu operasi pengeluaran minyak serta laluan perdagangan utama dunia, termasuk Selat Hormuz yang menjadi laluan penting bagi perdagangan tenaga global.
Hampir satu perempat perdagangan minyak dunia melalui kawasan tersebut. Sebarang gangguan akan menyebabkan penghantaran minyak dunia menjadi lebih perlahan dan kos logistik meningkat dengan ketara.
Akibat keadaan ini, Malaysia terpaksa mempertimbangkan sumber alternatif lain termasuk mendapatkan bekalan dari negara luar Asia seperti Rusia.
Walaupun langkah ini mampu membantu menstabilkan bekalan tenaga dalam negara, proses penghantaran dari Eropah memerlukan tempoh penghantaran yang lebih panjang berbanding dengan laluan tradisional dari Asia Barat.
Selain faktor jarak, penghantaran tersebut juga melibatkan kos pengangkutan yang lebih tinggi, risiko geopolitik, kesesakan laluan perdagangan serta proses logistik yang lebih kompleks.
Jika subsidi terus diberikan sepenuhnya kepada semua pengguna, penggunaan bahan api domestik akan kekal tinggi sedangkan bekalan semakin terhad dan kos import meningkat setiap bulan.
Keadaan ini boleh memberi tekanan besar kepada kewangan negara serta meningkatkan defisit fiskal kerajaan.
Pada masa sama, inflasi juga berpotensi meningkat akibat peningkatan kos pengeluaran dalam pelbagai sektor ekonomi.
Apabila bahan mentah semakin sukar diperoleh dan kos tenaga meningkat, syarikat akan menyalurkan sebahagian kos tersebut kepada pengguna melalui kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Situasi ini dikenali sebagai inflasi tolakan kos. Jika keadaan berlarutan, kuasa beli rakyat akan semakin lemah dan pertumbuhan ekonomi negara boleh menjadi semakin perlahan.
Secara keseluruhannya, Malaysia kini sedang berdepan dengan satu bentuk krisis tenaga yang lebih kompleks dan berbahaya berbanding sebelum ini.
Krisis ini bukan lagi sekadar isu kenaikan harga minyak dunia, sebaliknya melibatkan keseluruhan struktur rantaian bekalan global, keselamatan tenaga negara, kestabilan fiskal kerajaan dan kemampuan industri untuk terus beroperasi.
Jika konflik geopolitik global terus berpanjangan sehingga 2027 seperti yang dijangkakan, Malaysia perlu mempercepat transformasi tenaga negara termasuk memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui, memperkukuh industri tenaga domestik serta mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api dari luar negara.
Tanpa langkah strategik yang berkesan, negara berisiko menghadapi pertumbuhan ekonomi yang perlahan, peningkatan pengangguran, inflasi berterusan dan tekanan kos sara hidup yang lebih serius pada masa hadapan.


