ARTIKEL

Kritikan Jahat dan Serang Peribadi Pemimpin Bukan Budaya Sarawak – Pewaris

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persatuan Warga Islam Saribas (PERWARIS) menyeru masyarakat menghentikan sebarang kritikan tidak sihat yang berunsur untuk mencemar kredibiliti seseorang pemimpin.

Pengerusinya, Profesor Madya Dr Bolhan Budeng berkata, susulan jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam Jumaat lalu, ramai mengambil kesempatan menyerang beliau secara peribadi.

Razi ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir, menyatakan berdasarkan rekod e-Kasih setakat 1 Oktober 2025, Sarawak tidak mempunyai Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar.

“Razi telah menjawab soalan yang diajukan. Namun mendapat kritikan oleh masyarakat di media sosial dan ada segelintir menggunakan platform sama dengan mengambil kesempatan menyerang peribadi beliau.

“Sehubungan itu, kritikan sebegini tidak sihat dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.

“Ini memandangkan segala bentuk jawapan kepada soalan dalam setiap persidangan, maklumat atau teks jawapan telah disediakan oleh pihak-pihak yang berwajib, atau agensi berkaitan dan tidak wajar seseorang menteri dipersalahkan semata-mata kerana timbul kekeliruan terhadap maklumat yang disampaikan.

“Oleh demikian, PERWARIS menolak sebarang kritikan tidak sihat yang berunsur untuk mencemar kredibiliti seseorang pemimpin” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kritikan berupa serangan peribadi yang langsung tiada kaitan dengan maklumat yang disampaikan bukanlah amalan dan budaya di Sarawak.

“Lantaran itu, PERWARIS sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan keharmonian, kedamaian dan kesejahteraan mengutamakan perpaduan masyarakat.

“Kita menyokong penuh segala usaha ke arah kemajuan Sarawak yang dirancangkan dan dilaksanakan oleh barisan kepimpinan pada masa sekarang.

“Percayalah segala bentuk kritikan berupa serangan peribadi tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan untuk perpaduan kaum dan kemajuan Sarawak yang dicintai ini.

“Justeru itu, PERWARIS menyeru agar budaya seumpama ini wajar dihentikan” ujarnya.

Tambah Bolhan, PERWARIS amat mementingkan keamanan dan keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk di Sarawak.

Sehubungan dengan itu, PERWARIS mengambil pendekatan yang bertimbang rasa dan berkompromi dalam isu-isu penting berkaitan kemajuan ummah untuk menjaga kemaslahatan pelbagai kaum.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU