SARIKEI: Kuala Rajang bakal melakar sejarah apabila ia terpilih sebagai lokasi projek perintis karbon biru yang pertama di negara ini.

Projek tersebut tertumpu di kawasan Tanjung Manis di sini dan sekitarnya.
Ia meliputi kawasan paya bakau seluas 10,000 hektar yang diamanahkan kepada Worldview Climate Solutions (WCS) Malaysia Sdn Bhd bagi tujuan kajian stok karbon bakau.
Bagi merealisasikan hasrat itu, seramai 150 penduduk menghadiri sesi dialog Projek Karbon Biru Sarawak anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) dengan kerjasama WCS Malaysia Sdn Bhd di Kampung Selalang semalam.
Ahli Lembaga Amanah LAKIKR, Attar Salleh, berkata WCS merupakan subsidiari Worldview International Foundation (WIF), iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Bangkok, Thailand.
Fokus utama WCS adalah penanaman semula kawasan paya bakau bagi projek karbon kredit.
“Untuk rekod, Memorandum Perjanjian ditandatangani oleh LAKIKR dan WCS pada 11 September 2024,” kata Attar kepada media.
Menurutnya, penganjuran program bertujuan membincangkan potensi dan cabaran serta meraih kerjasama daripada komuniti setempat untuk sama-sama menjayakan projek berkenaan.
“Pelaksanaan projek akan melibatkan komuniti tempatan, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah WIF Malaysia, Datuk Selvakumar, pemimpin masyarakat, dan wakil agensi kerajaan.

