Kualiti air tidak terjejas akibat banjir – Dr Abdul Rahman

KUCHING: Setakat ini tiada laporan berkaitan pencemaran bekalan air di Sarawak meskipun negeri itu berdepan dengan situasi banjir sejak beberapa hari lepas, kata Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Beliau memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air di negeri itu tetap selamat untuk digunakan dan tidak terjejas semasa banjir.
“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang laporan daripada agensi bekalan air yang berkaitan seperti Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu atau Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak mengenai isu-isu berkaitan pencemaran air.
“Bagaimanapun, kami memang mempunyai kes paip pecah susulan tekanan air kuat yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna serta pam air atau generator rosak yang merupakan kes biasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Matu Baru di sini semalam.
Dr Abdul Rahman, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai, turut mengingatkan mangsa banjir agar sentiasa berjaga-jaga terutama berkaitan pengambilan makanan dan minuman mereka.
“Pastikan air yang anda minum dan makanan yang anda makan sudah dimasak.
“Jika ada tempat yang masih bertakung dengan air, tolong bersihkan agar ia tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.