KUCHING: Pelaburan dalam pendidikan perlu dilihat sebagai strategi pembangunan modal insan bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan bersedia memenuhi keperluan ekonomi serta teknologi masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kualiti sumber manusia akan menjadi antara penentu utama kejayaan agenda pembangunan negeri, khususnya dalam usaha merealisasikan aspirasi negeri maju berpendapatan tinggi yang makmur dan inklusif menjelang 2030.
“Dalam usaha merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, kita memerlukan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan konsisten serta kemajuan teknologi yang pesat.

“Kita juga memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, inovatif serta bersedia menghadapi sebarang cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sarawak 2026 yang disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif tajaan pendidikan seperti yang dilaksanakan PETRONAS membuka peluang kepada pelajar Sarawak yang berkelayakan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti selain memperluas pengetahuan dan pengalaman mereka.
Dalam pada itu katanya, tajaan yang diterima pelajar bukan hanya membawa nilai dari segi kewangan, malah mencerminkan pengiktirafan dan keyakinan ke atas potensi mereka untuk memberi sumbangan kepada masyarakat serta pembangunan negeri dan negara.
Beliau turut mengingatkan penerima tajaan supaya memanfaatkan peluang yang diberikan untuk menimba ilmu, mengembangkan potensi diri serta meningkatkan kemahiran dan pengalaman.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan dalam memperkasakan generasi muda Sarawak melalui pendidikan serta peranannya sebagai rakan pembangunan negeri.



