SIBU: Seramai 44 pekerja hilang tempat berteduh selepas kuarters mereka ranap dalam kebakaran di Jalan Tanjung Kunyit, hari ini.
Ketua Bomba Zon 4 Sibu PgKB I Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.54 pagi.
“Setelah menerima panggilan, dua buah pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan Sibu Sentral telah dikerahkan ke lokasi kejadian,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, setibanya di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan deretan rumah pekerja keluasan 20’x288’ kaki persegi, struktur tidak kekal membabitkan sebanyak 25 pintu.
Bagaimanapun, ujar beliau, salah satu pintu deretan rumah pekerja terbabit tidak dihuni manakala 24 pintu berpenghuni.
“Kebakaran telah meranapkan keseluruhan rumah dengan 100 peratus.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan tidak melibatkan kehilangan nyawa,” jelas beliau.
Untuk tindakan operasi, Andy memberitahu setelah ‘size up’ dilakukan dengan berpandukan konsep ‘RECEO’, pasukan pemadam bertindak melakukan pemadaman dengan menggunakan satu pam angkut, dua aliran hos 200 kaki, satu cabang pembahagi, tiga nozzle dari sumber air terbuka (kolam) sehingga api padam sepenuhnya.





