KUCHING: Pengumuman Kuching Chapter sebagai juara keseluruhan Sukan Olimpik Khas Sarawak Edisi Ketujuh 2025 merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan, kata Ruhana Bujang.
Ketua Delegasi Kuching Chapter itu berkata, meskipun menghadapi pelbagai cabaran semasa berentap dalam kejohanan ini, tetapi ia bukan penghalang kepada kontinjen untuk meraih kejayaan.

Katanya, beliau juga bangga dengan dedikasi semua pihak yang terlibat sepanjang temasya sukan ini termasuk jurulatih, pegawai pengiring dari sekolah rendah dan menengah, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
“Rata-rata mereka mengambil masa untuk melatih anak-anak istimewa kita ini.
“Jadi, dengan pencapaian membanggakan ini kita melihat guru, jurulatih dan pengiring terbukti dapat mengawal anak-anak istimewa kita termasuk di perkampungan sukan selama tiga hari acara berlangsung,” katanya.
Ruhana yang juga guru SMK Demak Baru itu berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan rasmi Sukan Olimpik Khas Sarawak Edisi Ketujuh 2025 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) Kuching, malam tadi.
Tambahnya, sukan yang paling banyak menyumbang pingat ialah boling dan renang.
Menjelas lanjut soal pemilihan atlet berpotensi untuk dihantar mewakili Sarawak dalam Sukan Kebangsaan Olimpik Khas Malaysia di Ipoh, Perak pada Jun depan, Ruhana memberitahu bahawa perkata tersebut belum dibincangkan.
Untuk rekod, Kuching Chapter dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi temasya Sukan Olimpik Khas Sarawak Edisi Ketujuh 2025 dengan meraih 131 kutipan pingat merangkumi 51 emas, 46 perak dan 34 gangsa.



