
KUCHING: Skuad Kuching City FC (KC FC) terus memperkasa persiapan bagi menghadapi kempen Liga Super 2023 yang akan bermula 24 Februari ini.
Pasukan yang sinonim dengan gelaran The City Boys itu telah menjalin kerjasama dengan AGYM Nutrition Sdn. Bhd. yang merupakan salah sebuah syarikat pembekal produk minuman bertenaga sebagai rakan penaja musim ini.
Pagi tadi berlangsung majlis ringkas menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak terbabit.
Kuching City FC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Iswandy Ali Hassan. Manakala, AGYM Nutrition Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Hafiz Khalim.
Hadir sama, Pengerusi Kuching City FC Fazzrudin Abdul Rahman, pegawai-pegawai serta barisan kejurulatihan.
Fazzrudin pada sidang media mengucap terima kasih kepada syarikat terbabit dengan memilih Kuching City FC untuk membentuk kerjasama.
Beliau turut meluahkan harapan agar kerjasama yang terbentuk dapat meningkatkan semangat pemain dalam mengharungi saingan musim ini.




