Kuching City cari lawan sesuai

PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui amat sukar untuk mencari rakan “sparring” sekarang ini, lebih-lebih lagi dari Semenanjung.
Dengan tidak dibenarkan rentas negeri, KCFC terpaksa mencari kelab sesuai di Sarawak untuk aksi pemanas badan.
“Amat sukar untuk kita menentang kelab di Semenanjung sekarang ini,” kata Irfan.
“Namun kami akan mencari kelab tempatan di sini yang sesuai untuk kita lawan.
“Yang pasti, aksi pemanas badan amat penting bagi kita,” ujar Irfan.
Buat masa ini, lawan sesuai bagi KCFC ialah pasukan yang beraksi dalam Liga Sri Aman yang telah pun bermula awal Januari lalu.
Walaupun amat jauh dari taraf, tetapi sekurang-kurangnya KCFC tidak menentang pasukan bidan terjun.
Satu lagi lawan sesuai ialah skuad Piala Presiden Sarawak United. Irfan memulakan tugas Khamis lalu.
Latihan turut disertai tiga muka baharu, Aylton, Rafiq dan Badrul.
Manakala dua lagi import asing dari Brazil, Hudson Dias dan Leonardo Alves masih belum bersama pasukan.
Mereka dijangka turun berlatih pada penghujing Januari ini atau awal Februari depan.
KCFC telah pun berlatih sejak 28 Disember lalu selepas Siri Jelajah Sarawak pada 8 Disember hingga 21 Disember.
Mereka menentang enam pasukan iaitu Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
KCFC memenangi kesemua aksi tersebut.