KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui pasukan Terengganu antara pesaing yang boleh mencetus tekanan kepada lawan.
Justeru, jurulatih kelahiran Singapura itu mengingatkan anak-anak buahnya agar kekal fokus dan meningkatkan disiplin diri sepanjang tempoh 90 minit pertemuan kedua-dua pasukan terbabit di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok (Jumaat).
“Kita tahu kualiti pasukan Terengganu, mereka boleh mencetus ancaman sepanjang perlawanan.
“Saya mengingatkan pemain supaya kekal konsisten dan mengekalkan corak permainan tersusun sepanjang perlawanan,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Apa yang penting, kata Aidil, pemain diseru untuk mengelak melakukan kesilapan mudah sebagaimana yang berlaku ketika Kuching City sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Brunei DPMM hujung minggu lalu.
“Sebolehnya kita mahu mengelak melakukan kesilapan mudah ketika menentang Brunei DPMM kerana ia boleh mengundang musibah,” tambah Aidil.
Skuad Kuching City kini menghuni tangga ketiga dengan 44 mata selepas mengharungi 21 perlawanan.
Berbanding Terengganu di kedudukan kelima, mengumpul 33 mata juga dengan jumlah perlawanan yang sama.



