ARTIKEL

Mohamad Nur Raziman muncul wira Kuching FA apabila meledak hatrik menentang PDRM FA. | Foto: Kuching FA & Sarawak FA

Kuching FA belasah PDRM FA 11-0

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching FA mencuri tumpuan pada aksi minggu kedua Liga Premier Sarawak 2026 apabila membelasah PDRM FA 11-0 di Padang D, Kuching, semalam.

Kemenangan besar itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata buat Kuching FA dalam penampilan pertama mereka musim ini, malah menyaksikan skuad berkenaan menghasilkan jumlah jaringan tertinggi dalam saingan setakat ini.

Ketajaman jentera serangan Kuching FA terserlah apabila lima pemain mencatat nama sebagai penjaring, diketuai Mohamad Nur Raziman yang meledak hatrik.

Barisan utama Kuching FA menentang PDRM di Padang D, Kuching. | Foto: Kuching FA & Sarawak FA

Shahfitri Salim, Harith Akmal, Faris Faidillah dan Arif Iskandar pula masing-masing menyumbang dua gol bagi melengkapkan pesta jaringan skuad berkenaan.

Keputusan tersebut meletakkan Kuching FA di tangga ketiga Zon Selatan dengan tiga mata, di belakang pendahulu Samarahan FA yang mengumpul enam mata dan ATM FA dengan empat mata.

Samarahan FA terus menguasai carta selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan Betong FA 7-0, manakala ATM FA mengatasi Serian FA 1-0.

Aksi sengit antara pemain Kuching FA dan PDRM FA. | Foto: Kuching FA & Sarawak FA

Serian FA turut mengumpul tiga mata, namun berada di belakang Kuching FA berdasarkan perbezaan jaringan.

Dalam saingan Zon Utara, Sibu FA turut mengekalkan rekod sempurna selepas meraih kemenangan kedua untuk mengumpul enam mata, manakala Bintulu FA menghuni tangga kedua dengan empat mata.

Limbang FA berada di tempat ketiga dengan dua mata, diikuti Miri FA, Sarikei FA dan Mukah FA yang masing-masing mengumpul satu mata. Kapit FA pula masih mencari mata pertama.

Foto: Kuching FA & Sarawak FA

Bagi Kuching FA, kemenangan ke atas PDRM memberi permulaan cukup meyakinkan selepas mereka tidak beraksi pada minggu pembukaan, dengan jentera serangan terus menunjukkan ketajaman sejak awal kempen.

Bagaimanapun, saingan masih panjang dan kedudukan semasa dijangka berubah apabila pasukan kembali turun beraksi pada minggu berikutnya.

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha