Kuching FA kehilangan Alves

HANYA tinggal tiga hari sahaja lagi, menjelang aksi buka tirai Liga Premier 2020 menentang UKM FC di Stadium Sarawak, Kuching FA mendapat perkhabaran buruk, apabila kehilangan penyerang utamanya, Leonardo Alves.

Alves mengalami kecederaan lutut. Ia merupakan kecederaan lama yang berulang.

Menurut penolong jurulatih, Ideris Untong, Alves tidak akan dapat bersama-sama mereka sepanjang musim ini.

“Amat menyedihkan, kerana kami kehilangan Alves ketika saingan hendak bermula.

“Pihak pengurusan sekarang ini dalam proses untuk mencari penyerang baharu,” jelas Ideris.

Alves yang berasal dari Brazil, merupakan sandaran utama Kuching FA di bahagian serangan.

Beliau memiliki mutu kawalan bola luar biasa, di samping bijak membuka peluang dan menyempurnakan peluang.

Ini bermakna, skuad warga kota itu akan bergantung kepada seorang lagi penyerang import, Hudson Dias, bekas penyerang Sarawak.

Sebelum ini, Alves, Hudson sudah pun mampu membentuk kombinasi mantap di bahagian serangan bersama-sama tonggak tempatan, Joseph Kallang Tie.

Yang pasti, Kuching FA akan menggunakan pemain baharu untuk mengisi tempat Alves untuk aksi Sabtu ini.

Dua bekas penyerang Sarawak, Sufizal Ismail dan Paul Sambang dijangka akan mengambil alih tempat Alves untuk bergandingan dengan Hudson.

Menurut Ideris, para pemain sudah pun bersiap sedia untuk menghadapi UKM.

“Segalanya sudah pun diatur dan hanya menunggu masa untuk beraksi… persiapan terakhir kami hanyalah dari segi mental para pemain,” katanya.

Suara Sarawak