KUCHING: Ekspo Tatu Antarabangsa Kuching 2025 kembali memeriahkan bandar ini pada 5 hingga 7 September bertempat di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini.
Acara tahunan itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan, yang dijadualkan pada 6 September.
Sebanyak 49 gerai khas menampilkan artis tatu berasaskan mesin dan 10 gerai lagi mengetengahkan teknik tradisional tanpa mesin, sekali gus mencerminkan revolusi seni tatu moden yang tetap memberi penghormatan kepada warisan bersejarah.
Penyertaan melibatkan artis tatu dari dalam dan luar negara termasuk Semenanjung Malaysia, Vietnam, Indonesia, India, Hawaii, Rusia, serta beberapa negara lain.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pertandingan tatu yang dibahagikan kepada 12 kategori dengan hadiah menanti para pemenang.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menerokai tapak jualan yang menampilkan lima gerai kraftangan tempatan serta vendor makanan dan minuman.
Orang ramai dialu-alukan hadir memeriahkan Ekspo Tatu Antarabangsa Kuching 2025 yang dijangka menjadi antara acara tumpuan September ini.


