KOTA SAMARAHAN: Kuching muncul juara Zon Selatan Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) selepas menewaskan finalis musim lalu, Samarahan, 1-0 di Stadium Terbuka Kota Samarahan, petang tadi.
Mohamad Nur Raziman Razali muncul wira Kuching apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-15, sekali gus membantu pasukan itu menamatkan saingan dengan rekod tanpa kalah dan mengumpul 16 mata.

Ketua jurulatih Kuching, Mohammad Dzulazlan Ibrahim berkata, beliau amat gembira dengan kemenangan yang diraih anak buahnya.
“Ini tiga mata yang amat berharga buat kami untuk kekal di tangga teratas dan muncul juara Zon Selatan SPL 2026,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Dzulazlan, pemainnya melaksanakan tugas dengan baik walaupun menerima tekanan hebat daripada pasukan tuan rumah sepanjang perlawanan.
Katanya, Kuching bagaimanapun berjaya mengatasi tekanan itu untuk mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.
Aksi kedua-dua pasukan seimbang pada awal permainan dengan saling berbalas serangan serta mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Kuching akhirnya membuka tirai jaringan menerusi Raziman pada minit ke-15 selepas penjaga gol Samarahan, Muhammad Ikhwan Najmi Azlan, gagal menangkap kemas bola di kawasan berbahaya.
Samarahan menguasai permainan pada babak kedua dan mencipta beberapa peluang, namun gagal menyamakan kedudukan apabila Kuching bertahan sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan 1-0.


