KUCHING: Pengguna jalan raya di sekitar Kuching dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan dan lencongan di 26 lokasi jalan sempena penganjuran Kuching Maraton 2026, hujung minggu ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, penutupan dan lencongan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat bermula tengah hari Sabtu hingga 10 pagi Ahad bagi memastikan kelancaran program dan pergerakan trafik.
“Beberapa lokasi mula ditutup pada 10 malam, 26 September, manakala laluan perlumbaan pula ditutup bermula 12.01 tengah malam hingga 10 pagi, 27 September,” katanya.

Beliau menambah, antara lokasi yang terbabit ialah Lebuh Wayang, Jalan Main Bazaar, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Carpenter, Jalan Barrack, Jalan Pearl dan Jalan Wawasan.
Turut terlibat katanya adalah beberapa persimpangan dan bulatan utama termasuk susur jalan Haji Taha, lampu isyarat Jalan Ajibah Abol, simpang Jalan Muhibbah/Jalan Kulas, bulatan mahkamah, bulatan Sesco dan bulatan Samariang.
“Penutupan dan lencongan turut melibatkan lampu isyarat Jalan Sultan Tengah, Bulatan Yayasan, bulatan Kesuma Resort, bulatan Stadium, bulatan Gersik, lampu isyarat Jalan Sekama/Pending, bulatan Sri Aman serta persimpangan Jalan Gamelan/Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob.
“PDRM memohon kerjasama orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan di lokasi terbabit bagi mengelakkan gangguan terhadap aliran trafik,” katanya.
Alexson menambah, orang ramai turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penutupan dan lencongan berkenaan.
Kuching Maraton 2026 membabitkan empat kategori perlumbaan iaitu 5 kilometer, 10 kilometer, 21 kilometer dan 42 kilometer, dengan laluan perlumbaan disediakan bagi setiap kategori.
“Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan penutupan dan lencongan jalan boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-259900,” katanya.


