KUCHING: Kejayaan Kuching memenangi bidaan InterHash 2028 membuktikan keyakinan komuniti antarabangsa dengan keupayaan Sarawak menganjurkan acara bertaraf dunia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu merupakan satu pengiktirafan penting kemampuan negeri ini menarik dan menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.
Menurut beliau, InterHash merupakan perhimpunan utama komuniti Hash House Harriers yang diadakan setiap dua tahun dan menghimpunkan peserta dari lebih 50 negara serta lebih 450 kelab di seluruh dunia.
“Penganjuran InterHash 2028 di Kuching dari 14 hingga 16 Julai ini dijangka menarik sehingga 4,000 peserta dari seluruh dunia untuk menikmati keunikan budaya, alam semula jadi dan komuniti tempatan di Sarawak,” katanya pada sidang media pengumuman InterHash 2028 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu berkata, kehadiran ribuan peserta antarabangsa itu dijangka memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan, kraf tangan serta perusahaan berasaskan komuniti.
Katanya, penganjuran acara tersebut dianggarkan menjana kira-kira RM12 juta dalam penerimaan pelancongan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata InterHash 2028 akan menawarkan empat kategori laluan larian iaitu Ball Breaker Run sejauh 26 hingga 28 kilometer, Long Run (7 hingga 10 kilometer), Medium Run (5 hingga 7 kilometer) dan Short Run (3 hingga 5 kilometer).
Selain itu, acara berkenaan turut mengekalkan tradisi InterHash menerusi penganjuran Red Dress Run atau larian amal sehari sebelum acara utama, dengan hasil kutipan disalurkan kepada badan kebajikan tempatan.
Katanya lagi, dalam tempoh dua tahun akan datang, jawatankuasa penganjur akan melaksanakan kempen promosi antarabangsa menerusi pelbagai acara dan jelajah di seluruh dunia bagi menarik lebih ramai peserta ke Sarawak.
Menurutnya, usaha tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan kejayaan InterHash 2028, malah memperkukuh reputasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan pengembaraan dan kebudayaan yang terkenal di Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengerusi Bersama InterHash 2028, Robin Kho dan Chris Chai merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta semua pihak yang menyokong usaha bidaan tersebut.
Mereka berkata, kemenangan ini merupakan permulaan kepada usaha memperkenalkan keindahan Sarawak, keramahan rakyatnya dan keunikan budaya Borneo kepada komuniti hash dari seluruh dunia.

