ARTIKEL

RAKAM KENANGAN…Misnu merakam kenangan bersama-sama yang lain selepas kunjungan hormat ke atas Premier, hari ini. (FOTO: UKAS)

Kuching Tuan Rumah MTQBB 26 Hingga 29 Oktober Ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bandar raya Kuching bakal menjadi tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo (MTQBB) 2026 yang berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober ini.

Majlis berkenaan menghimpunkan 32 peserta dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan lima provinsi di Kalimantan, Indonesia, bagi menyertai pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran.

Sehubungan itu, Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan MTQBB pada 27 Oktober, manakala majlis penutupan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 29 Oktober.

Misnu ketika ditemui pemberita selepas kunjungan tersebut.
(FOTO: UKAS)

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, penganjuran program bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ itu menjadi platform memperkukuh syiar Islam di peringkat serantau, selain memartabatkan al-Quran dan mengeratkan hubungan antara wilayah serta negara di Borneo.

“MTQBB 2026 akan menampilkan dua acara utama, iaitu pertandingan tilawah al-Quran yang disertai sembilan qari dan lapan qariah, serta pertandingan hafazan al-Quran melibatkan lapan hafiz dan tujuh hafizah.

“Selain pertandingan utama, program itu turut diisi dengan Bicara Ilmuwan Se-Borneo, pameran dan kuiz al-Quran bagi meningkatkan penghayatan masyarakat dengan kitab suci berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier, di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Jelasnya, Pertandingan tilawah dan hafazan akan berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak, manakala pameran diadakan di ruang utama Bangunan Majma’ dan Bicara Ilmuwan Se-Borneo di Pusat Maklumat Islam.

Bagi pertandingan tilawah, johan akan menerima hadiah wang tunai RM20,000, diikuti naib johan RM14,000, tempat ketiga RM10,000 dan hadiah sagu hati RM3,000.

Pertandingan hafazan pula menawarkan RM10,000 kepada johan, RM8,000 kepada naib johan, RM6,000 bagi tempat ketiga dan RM2,000 untuk hadiah sagu hati.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU