KUCHING: Peminat aktiviti luar diseru untuk menyertai acara “Kuching Youth Urban Glamping Festival” yang akan berlangsung di Aeon Mall Kuching pada 11 dan 12 Mac nanti.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Mysed) Dolhadi Mazuki berkata ini adalah inisiatif baharu dalam usaha untuk memastikan golongan belia dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang lebih berfaedah.
Katanya, objektif penganjuran program tersebut adalah untuk mempromosi dan memperkenalkan rekreasi perkhemahan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan jantina.

“Aktiviti ini juga adalah untuk meningkatkan ekonomi tempatan secara langsung dan tidak langsung.
“Justeru, ia juga sebagai respon kepada cabaran gaya hidup sihat yang boleh dipraktikkan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sekali gus mewakili Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat sempena penganjuran “Kuching Youth Urban Glamping Festival” di Bangunan Baitulmakmur 2, dekat sini, hari ini.
Konsep perkhemahan di atas bumbung pusat beli-belah itu julung kali diadakan di Sarawak dan menyasarkan kira-kira 3,000 pengunjung selama dua hari.
Acara unik yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik itu juga dianjurkan oleh Borneo Glamping dan Kelab Belia Proaktif dengan kerjasama beberapa organisasi lain serta disokong oleh Mysed dan Kementerian Belia Sukan Malaysia.
Sehubungan itu, Dolhadi menambah terdapat beberapa lot ditawarkan untuk aktiviti perkhemahan tersebut yang mana sebanyak 20 lot untuk pakej pasangan dengan harga RM100; dan 29 lot untuk pakej keluarga (RM150).
Pintu masuk untuk acara adalah percuma dan tempat “glamping” boleh ditempah menerusi laman web borneoglamping.com.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pengerusi Penganjur Shenton Tan di talian 012-8989963.