Kucing pun menginap di hotel

BIASANYA yang menginap di hotel adalah manusia, bukan haiwan kerana membayangkan hotel cuma tempat singgah manusia untuk berehat dan bercuti.

Namun bagi penggemar kucing, hotel bukan sesuatu yang asing kerana perkhidmatan itu membolehkan manusia memanjakan haiwan kesayangan mereka.

Antara tempat yang menyediakan perkhidmatan itu di Klinik Haiwan Primavet di Jalan Depo Petra Jaya.

Doktor Veterinar Dr Audrey Cheong berkata, selain menyediakan perkhidmatan rawatan haiwan, klinik tersebut juga menyediakan perkhidmatan penginapan hotel untuk kucing mengikut standard antarabangsa dari Persatuan Antarabangsa Perubatan Feline (ISFM).

“Kalau pelanggan menghantar kucing ke sini, kami akan periksa terlebih dahulu untuk memastikan kucing tersebut sihat sepenuhnya.

“Kucing sudah divaksin, diberi ubat kutu dan ubat cacing barulah dibenarkan ke dalam hotel bersama kucing yang lain.

“Bermakna kami akan pastikan kucing yang ditempatkan di hotel berada dalam keadaan sihat, selamat dan bersih,”katanya.

Menurutnya, klinik tersebut tidak menyisihkan kucing yang sakit untuk ditempatkan dan mendapat penjagaan.

Sekiranya didapati kucing tidak sihat ketika diperiksa, kucing ini akan ditempatkan di wad khas mengikut jenis masalah kesihatannya.

Kucing yang sakit akan menerima rawatan dan dikategorikan di bawah hospital dan bukan hotel.

Namun, Dr Audrey berkata perkhidmatan Hotel Kucing ini semakin terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan sejak 18 Mac tahun lalu.

“Sejak PKP, masyarakat tidak boleh melancong ke luar menyebabkan mereka tidak menghantar kucing ke sini.

“Bukan tiada langsung permintaan, ada cuma kurang jika dibandingkan dengan sebelum PKP ,” ujarnya.

Justeru beliau faham dengan situasi tersebut dan masih menempatkan beberapa ekor kucing termasuk kucing persendirian di situ. Selaku pencinta kucing, Dr Audrey masih menyediakan perkhidmatan tersebut sebagai pendapatan sampingan.

Malah beliau sendiri menyediakan perkhidmatan penjagaan kucing secara percuma semasa banjir dan pasca banjir.

“Kami memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kucing secara percuma untuk 48 jam. “Jadi sementara tempoh banjir atau mereka masih sibuk membersihkan rumah selepas banjir.

“Mereka boleh menghantar kucing mereka di sini untuk dijaga,” katanya lagi. Di Klinik Haiwan Primavet turut menyediakan makanan kucing di luar klinik untuk kucing-kucing jalanan.

Justeru, selaku doktor veterinar, Dr Audrey memberi nasihat untuk masyarakat di luar sana memelihara kucing jalanan berbanding membeli kucing.

“Kucing tetap kucing. Kalau kita sayangkan kucing tersebut, kita jaga dengan baik,” jelasnya.

Suara Sarawak