Lachau bandar organik

SIMANGGANG: Kekayaan produk makanan hasil pertanian di kawasan Lachau dijangka mampu mengangkat potensinya sebagai bandar organik yang akan berkembang dengan sendiri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan untuk membina tempat pemprosesan buahbuahan.

“Kita nampak masa depan yang cerah, hasilan makanan berteraskan pertanian.

“Terlalu banyak, segar… semua ada di sini. Justeru, Lachau dilihat mempunyai potensi menjadi bandar organik yang akan berkembang dengan sendirinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Tapak Pesta Benak (Tebingan) Sri Aman dan Projek Naik Taraf Ruang Niaga Pasar Tamu dekat sini, semalam.

Misalnya kata Abang Johari, rambutan yang banyak di bandar itu boleh diproses menjadi produk dalam tin.

“Begitu juga durian. Kita boleh hasilkan produk-produk berasaskan durian. Satu lagi, sayur-sayuran seperti terung asam. “Kerana terung asam mendapat sambutan di Singapura.

Ini menunjukkan potensi besar sayur-sayuran.

Kita proses di sini dan hantar ke Kuching untuk dieksport.

“Tambahan apabila siapnya Lebuh Raya Pan Borneo kelak, jarak Lachau dengan Kuching semakin dekat.

Kira-kira satu setengah jam sahaja,” ujarnya. Berhubung Projek Naik Taraf Ruang Niaga Pasar Tamu, ia diluluskan pada 11 Ogos 2018 melibatkan dua fasa dengan peruntukan RM5 juta bagi pelaksanaan fasa satu.

Fasa pertama melibatkan pembinaan 72 unit pasar terbuka, 24 unit gerai makan, tandas awam dan kemudahan tempat letak kenderaan.

Pada fasa kedua, pembinaan 50 unit ruang niaga disediakan untuk industri kotej.

Kerja-kerja pembinaan fasa satu projek ini bermula pada Januari 2019 dan dijangka siap Julai tahun ini, yakni dalam tempoh 18 bulan.

Projek ini bakal menjadi pusat perniagaan bagi penjaja dan peniaga tempatan dari Bandar Simanggang dan kawasan sekitarnya.

Suara Sarawak