Ladang sawit jadi laluan tikus

SERIAN: Enam pendatang asing tanpa izin (Pati) dicekup ketika cuba balik ke Indonesia menerusi laluan tikus di ladang kelapa sawit Tetangga Akrab kira-kira 5.2 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Kejadian itu disedari anggota Angkatan Tentera Malaysia ketika sedang mengawal sempadan sempena Op Benteng.

Jurucakap Sel Perhubungan Markas 1 Divisyen menerusi satu kenyataan rasmi semalam mengesahkan tangkapan dilakukan sekitar jam 4.30 petang.

Menurutnya, keenam-enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita ditemui menaiki tiga motosikal menuju ke sempadan sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek tidak mempunyai pas lintas batas dan mengaku keluar dari negara ini menggunakan jalan tidak sah,” jelasnya semalam.

Tambahnya, turut dirampas motosikal, sekampit beras 30 kilogram dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM14,550.

Susulan itu katanya, semua suspek serta barangan kes diserahkan kepada IPD Serian untuk tindakan siasatan.

Dedah kenyataan itu, cubaan keluar Pati melalui lokasi sama sebelum ini menunjukkan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab menjadi laluan tikus untuk merentasi sempadan kedua-dua negara.

Bagaimanapun tegasnya, tahap kesiagaan serta sikap komited yang diberi pasukan keselamatan berjaya memantau kes rentas sempadan melalui laluan tikus.

Suara Sarawak