KUCHING: Permohonan bagi kemasukan Program Latihan Intensif Tabung Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) kepada Syarikat Pemula – TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp 2025 (TPAB) Edisi Ke-7 – kini telah dibuka.
TEGAS menerusi satu kenyataan mengesahkan bahawa program terbabit dijadual berlangsung di Perkampungan Digital TEGAS pada 18 hingga 23 Ogos tahun ini.
“TPAB merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memperkasakan belia dan usahawan Sarawak.
“Inisiatif ini bukan sekadar membina langkah permulaan untuk syarikat pemula, malah memupuk generasi pemikir yang lebih berani dan penyelesai masalah yang mampu membawa perubahan bermakna dalam komuniti mereka.
“Pada masa sama, peserta diharap mampu menyumbang kepada visi negeri untuk menjadi ekonomi digital yang berkembang pesat dan inklusif menjelang tahun 2030,” kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh.
Menurut kenyataan itu, penganjuran kali ini lebih menarik kerana buat pertama kalinya ia akan dianjurkan dengan kerjasama antara TEGAS dan Growth Changer, iaitu sebuah agensi pemerkasa syarikat pemula yang terkemuka di negeri ini.
Pengarah dan Pengasas Bersama Growth Changer, Iskandar Shafi’i berkata, kerjasama ini akan membawa kepakaran baharu dengan pengisian kandungan program yang lebih menarik dan dinamik, sekali gus memastikan peserta memperoleh wawasan sebenar serta alat praktikal utama untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Growth Changer berbangga menjadi sebahagian daripada Kohort ke-7 TPAB dan semestinya kami tidak sabar untuk mewujudkan gelombang baharu yang lebih berani dan cemerlang, khususnya kepada startup di Sarawak,” katanya.
TPAB 2025 akan menampilkan bengkel menarik yang dikendalikan pakar, di samping melaksanakan trek pembangunan teknikal dan perniagaan, sesi bimbingan satu lawan satu serta mewujudkan peluang jaringan bersama pelabur, korporat, dan pemimpin industri.
Selain itu, program ini turut menawarkan modul praktikal dalam pemikiran reka bentuk, pembangunan model perniagaan, strategi pertumbuhan dan prototaip.

