KUCHING: Penumpang AirBorneo bakal disajikan dengan pelbagai pilihan hidangan beridentitikan Borneo sepanjang pengalaman penerbangan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, selain menu yang diinspirasikan daripada makanan tradisional Sarawak dan Sabah, syarikat penerbangan itu turut menawarkan pilihan hidangan barat serta Asia/Malaysia.
“Dalam memastikan pengalaman menjamu selera yang berkualiti dan konsisten di semua laluan, menu yang dipilih dirangka bagi mengekalkan keseimbangan keaslian rasa, keselamatan makanan, kestabilan penyimpanan dan kelancaran penyajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Meja Bulat Media Kuching bersama AirBorneo di Hotel Hilton di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, hidangan bagi Kelas Ekonomi mengutamakan sajian yang mudah diterima penumpang, konsisten dari segi penyediaan serta menampilkan elemen cita rasa tempatan dari Sarawak dan Sabah.
Penumpang boleh menikmati dua pilihan hidangan utama termasuk menu istimewa Borneo iaitu laksa Sarawak kering dan nasi lemak dabai, selain pilihan hidangan Barat atau Asia/Malaysia.
Turut disediakan pembuka selera dan pencuci mulut bagi penerbangan domestik, selain minuman serta snek seperti sagu – hidangan disajikan menggunakan bekas makanan kalis bocor dan selamat digunakan.
Manakala, menu bagi Kelas Perniagaan disesuaikan dengan keperluan operasi pesawat jet, termasuk tempoh penerbangan, kekangan ruang dapur pesawat dan keperluan penyimpanan makanan.
Penumpang boleh menikmati pengalaman menjamu selera lebih premium menerusi tiga pilihan hidangan utama.
“Antara menu ditawarkan ialah laksa Sarawak dan daging gulai kawah sebagai menu istimewa Borneo, selain pilihan hidangan Barat serta Asia/Malaysia. Menu pembuka selera dan pencuci mulut domestik juga disediakan,” jelasnya.
Minuman dan snek premium seperti kacang campuran serta coklat juga ditawarkan, melengkapkan pengalaman menjamu selera yang lebih eksklusif sepanjang perjalanan penerbangan.
TAMAT


