ARTIKEL

Laluan Baharu Q08B Bas MyKuching Hubungkan Saujana ke Terminal Bas Bau Kini Beroperasi

Laluan Baharu Q08B Bas MyKuching Hubungkan Saujana ke Terminal Bas Bau Kini Beroperasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak mengesahkan bahawa laluan baharu Bas MyKuching, iaitu Q08B yang menghubungkan Saujana ke Terminal Bas Bau, kini telah mula beroperasi.

Laluan baharu itu merangkumi beberapa lokasi utama iaitu Pusat Perubatan Timberland, Trinity Hub, pusat beli-belah Boulevard, Farley Kuching, Pasar Batu 7, Siniawan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku.

Pengerusi LPKP, Michael Kong Feng Nian berkata, jadual perjalanan bas bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali hari Ahad.

Manakala pada hari Ahad, katanya, bas pertama akan beroperasi pada jam 6 pagi dan terakhir pada jam 8 malam dari Bau, manakala pergerakan bas terakhir dari Saujana adalah pada jam 9 malam.

“Pada hari bekerja dan semasa waktu puncak (6 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 6 petang), LPKP Sarawak akan meningkatkan kekerapan bas kepada setiap 30 minit.

“Ini bagi memastikan lebih ramai orang bergantung kepada perkhidmatan ini sebagai pilihan yang praktikal dan menepati masa untuk perjalanan harian mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, laluan baharu ini akan menghubungkan kawasan pinggir bandar yang sedang pesat membangun, khususnya di kawasan Batu 7.

“Menyediakan akses yang lebih baik kepada pengangkutan awam yang cekap dan mampu milik di kawasan seperti ini adalah sangat penting bagi memastikan pembangunan yang inklusif serta tidak meminggirkan komuniti,” katanya.

Tegas beliau, pelancaran laluan baharu ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam ke kawasan luar bandar Kuching.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan bahawa pihaknya sedang meneroka cara-cara untuk memudahkan orang ramai mendaftar kad konsesi, khususnya warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar bagi menikmati tambang percuma di bawah program Bas MyKuching.

Sehubungan itu, katanya, lebih banyak kaunter bergerak dan berasaskan komuniti akan dipertimbangkan pada masa akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU