DEBAK: Berita gembira buat peminat sukan bola sepak bagi kawasan Debak dan sekitarnya apabila gelanggang tumpuan pelbagai peringkat umur terbabit akan dapat diguna pakai pada waktu malam.
Ia berikutan kerja menaik taraf dengan pemasangan lampu limpah Padang Bola Sepak Pusat Sukan Riveria (RSC) Debak, Betong berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya dua bulan akan datang.
Sekali gus, memberi bayangan bahawa pelaksanaan atau penganjuran aktiviti pada sebelah malam untuk padang terbabit bermula tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam menegaskan, kerja pemasangan telah dilaksanakan, bermula dengan pemasangan tiang sekitar padang terbabit.
Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti memberitahu,
kerja menaik taraf bermula dengan pencahayaan, dan walaupun pada masa sama usaha untuk menukar rumput sedia ada kepada sintetik tidak dapat dilakukan kerana kekangan penyelenggaraan jangka panjang.
“Lampu limpah akan dipasang, bersama-sama dengan pencahayaan solar di sekeliling padang. Ini akan membolehkan masyarat setempat menjalankan aktiviti pads waktu malam sebaik sahaja semuanya selesai,” katanya kepada Arena Suara Sarawak semalam.
Beliau menyatakan, kawasan Riveria sudah menjadi tempat perhimpunan petang yang popular, dengan penduduk kerap menganjurkan aktiviti rekreasi di sekitar padang dan ruang terbuka berdekatan.
“Dengan penaiktarafan lampu limpah terbabit, komuniti boleh menikmati persekitaran yang lebih selamat dan kondusif untuk aktiviti sukan dan riadah pada waktu malam,” tambahnya.
Beliau menambah, zon Riveria yang lebih luas akhirnya akan dipertingkatkan dengan taman komuniti bertemakan rekreasi, melengkapi padang yang telah dipertingkatkan dan mewujudkan ruang awam yang lebih meriah untuk penduduk.
Untuk rekod, pusat sukan berkenaan menerima RM4.2 juta daripada Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan kerja-kerja naik taraf kini sedang dijalankan.


