ARTIKEL

kemalangan maut, Lebuhraya Pan Borneo, Supt Aswandy Anis
Anggota bomba menjalankan operasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta.

Lapan maut kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo, cuba lari daripada pemeriksaan peronda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan kereta peronda pihak berkuasa menjadi punca kemalangan maut yang mengakibatkan lapan individu meninggal dunia di Lebuhraya Pan Borneo petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Sarikei, Supt Aswandy Anis, kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Pan Borneo itu berlaku apabila Perodua Alza dinaiki lapan individu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

“Dalam nahas sekitar jam 2.50 petang, kemalangan in berlaku apabila kenderaan Perodua Alza yang dinaiki seorang lelaki bersama tujuh warga Indonesia cuba melarikan diri daripada pemeriksaan kereta peronda.

“Dalam usaha melarikan diri itu, kenderaan tersebut telah memasuki laluan bertentangan bermula di lencongan simpang bulat.

“Apabila sampai di Jambatan Sungai Nyelong, Lebuhraya Pan Borneo, Perodua Alza tersebut telah bertembung dengan sebuah Hilux dinaiki seorang lelaki dan wanita,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Aswandy, akibat kemalangan itu, kesemua pemandu dan penumpang Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu dan penumpang Hilux mengalami kecederaan ringan, katanya.

“Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APT) 1987 dan masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik, Insp. Ahmad Mustaqim Idris, di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna yang lain, ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU