KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak menahan sebuah bot tunda yang disyaki melakukan kerja kerja-kerja pemunggahan minyak diesel hak kerajaan tanpa kebenaran ke kapal tangki yang tidak dikenal.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bot tunda tersebut bersama lapan orang kru termasuk nakhoda ditahan kira-kira jam 4 pagi, di perairan Tanjung Po.
Katanya, minyak diesel yang dipunggah tersebut dianggarkan bernilai RM215,000.
“Kesemua kru termasuk nakhoda adalah warganegara tempatan berumur lingkungan 24 tahun hingga 73 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana kesalahan pecah amanah jenayah iaitu dipercayai telah menjual minyak diesel yang dibekalkan oleh Tentera Diraja Malaysia (TLDM) bagi tugasan pengukuran laut.
Justeru katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 010-7728909 yang beroperasi 24 jam.



