MUKAH: Sebanyak lapan regu menyertai Fifty7 Welfare Pickleball Tournament di Dewan Serbaguna Kampung Petanak, di sini, semalam.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat N57 Tellian dan Pejabat Kebajikan Bahagian Mukah itu bertujuan memupuk semangat kesukanan dan persaingan sihat dalam kalangan warga pejabat.

Menurut ADUN Tellian, Royston Valentine, penganjuran kejohanan itu bukan sahaja memberi ruang kepada peserta untuk beriadah, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama.
“Aktiviti seperti ini menyediakan ruang interaksi yang lebih santai bagi memperkukuh semangat berpasukan, komunikasi dan jaringan kerja,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pelibatan dalam aktiviti fizikal turut dapat menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan peserta.
Ujarnya, aktiviti riadah secara bersama juga mampu meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan kecergasan, kesejahteraan fizikal dan kesihatan mental.

Dalam kejohanan tersebut, gandingan Dariel dan Tommy muncul juara dan membawa pulang hamper sebagai hadiah.
Tempat kedua diraih Max dan Irfan, manakala tempat ketiga menjadi milik gandingan Iwan dan Daniel.

Sementara itu, Atiqah dan Azuan menduduki tempat keempat, dengan keempat-empat pasangan menerima hamper berdasarkan kedudukan masing-masing.



