SARIKEI: Nasib lapan sekeluarga yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Min Tak, baru-baru ini mendapat perhatian Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Sri Huang Tiong Sii.
Beliau menghulurkan sumbangan barangan keperluan, makanan dan sebagainya bagi meringankan beban mangsa.
Menurut ADUN Repok itu, sumbangan yang dihulurkan diharap dapat membantu meringankan beban mangsa.
“Saya simpati dengan nasib yang menimpa mangsa dan semoga dengan sumbangan yang dihulurkan ini, ia meringankan sedikit beban mereka,” katanya.
Sumbangan Ahli Parlimen Sarikei itu disampaikan melalui wakilnya, Penghulu Huang Tiong Kang, hari ini
Terdahulu, insiden kira-kira jam 2.00 pagi itu memusnahkan sebuah rumah berstruktur tidak kekal yang didiami lapan sekeluarga.
Bagaimanapun kesemua mangsa termasuk seorang bayi yang berusia enam bulan terselamat kerana dilaporkan tidur di rumah saudara mereka.
Selain sumbangan wakil rakyat, mangsa juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

