MUKAH: Seramai lapan usahawan berpendapatan rendah (B40) di Mukah menerima bantuan peralatan perniagaan bernilai RM5,000 setiap seorang menerusi Program Sejati MADANI bagi meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip berkata, inisiatif kerajaan itu bertujuan membantu usahawan tempatan meningkatkan pendapatan sekali gus memperkukuh ekonomi isi rumah.

Katanya, program berkenaan turut menyokong matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam meningkatkan pendapatan isi rumah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peralatan Perniagaan di bawah Program Sejati MADANI @ Usahawan B40 di Pejabat Daerah Mukah, di sini, semalam.

Menurutnya, lapan penerima itu merupakan kumpulan pertama yang mendapat bantuan menerusi program berkenaan di Sarawak.
Beliau berharap semua penerima memanfaatkan peralatan yang disalurkan secara bertanggungjawab bagi memastikan perniagaan masing-masing terus berkembang.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Norfitri Amin berkata, program berkenaan merupakan peluasan inisiatif Sejati MADANI yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti.
Peluasan kepada golongan usahawan B40 pada tahun ini dibuat susulan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Jun lalu bagi membantu usahawan yang aktif menjalankan perniagaan secara sepenuh masa atau separuh masa.
Beliau berkata, bantuan yang disalurkan meliputi peralatan, perkakasan, kelengkapan atau aset berdasarkan keperluan jenis perniagaan penerima sahaja.
Program itu dilaksanakan menerusi kerjasama ICU JPM dengan pejabat daerah sebagai rakan strategik bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang layak.

