KUCHING: Program Larian Baton Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak (SOPMA) 2025 akan berlangsung pada tahun hadapan.
Ia menyasarkan 4,500 peserta menerusi penganjurannya di empat bahagian bermula dari Miri (4 Mei), Bintulu (18 Mei), Sibu (25 Mei) dan berakhir di Kuching (8 Jun).
Pengerusi Penganjur Larian Baton SOPMA 2025, Viktor Hii Lik Nguong, berkata pendaftatan bagi program larian itu dibuka bermula hari ini.
Justeru, pihaknya menyeru orang ramai untuk turut serta dalam program larian berkenaan pada tarikh dan lokasi ditetapkan.
“Kita mengalu-alukan orang ramai untuk menjayakan program Larian Baton SOPMA 2025.
“Sekali gus, sama-sama menyokong usaha badan induk berkenaan dalam penganjuran program larian baton berkenaan untuk mengumpul dana bagi nenampung keperluan mencakupi pelbagai aspek,” ujar Viktor pada sidang media di Pusat Persatuan Orang Pekak Sarawak di sini, hari ini.
Dengan kata lain, antara objektif penganjuran program larian baton berkenaan adalah untuk menerap amalan gaya hidup sihat dalam kalangan golongan sasar.
Pada masa sama, mereka diajak untuk turut sama menyumbang bagi menampung keperluan SOPMA.
“Kita tahu SOPMA mempunyai barisan atlet yang sering mewakili Sarawak dalam pelbagai kejohanan.
“Oleh yang demikian, dana yang berjaya terkumpul menerusi penganjuran program larian baton itu kelak akan dapat menampung keperluan atlet itu juga,” tambahnya.
Beliau juga menyeru badan korporat untuk turut sama menyumbang kepada kejayaan program larian baton berkenaan.


