ARTIKEL

Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian melancarkan Larian Ora Et Labora 2026 di Kuching, semalam. Turut kelihatan Archbishop Simon Poh dan kepimpinan sekolah.

Larian Ora Et Labora 2026 sasar 1,500 peserta, kumpul dana pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Larian Ora Et Labora kembali mewarnai kalendar tahunan bagi edisi kesembilan dengan sasaran lebih 1,500 peserta yang bakal berlangsung di SMK St Joseph, di sini pada 24 Oktober 2026.

Acara yang dijadualkan bermula pada jam 6 pagi itu menjadi medan pertemuan semula bekas guru, alumni serta ahli keluarga untuk berkongsi pengalaman selain menyumbang kepada pembangunan institusi berkenaan secara bersama.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, penganjuran larian tersebut bukan sekadar acara sukan semata-mata, sebaliknya menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan dalam komuniti sekolah berkenaan.

“Larian ini juga menghimpunkan pelajar daripada keluarga besar St Joseph termasuk SMK St Joseph, Sekolah Menengah Swasta St Joseph dan Sekolah Antarabangsa St Joseph.

“Setiap tahun pada bulan Oktober, mereka berkumpul di sini untuk acara larian yang sangat bermakna ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Larian Ora Et Labora 2026 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan edisi tahun lalu mencatat penyertaan lebih 1,200 peserta dan sasaran kali ini dipertingkatkan bagi dijadikan platform kutipan dana bagi menyokong aktiviti kokurikulum sekolah.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua alumni, golongan Josephian serta pihak korporat untuk bersama-sama menjayakan usaha mengumpul dana sebanyak RM2 juta bagi Pelan Induk St Joseph.

Inisiatif tersebut bertujuan menaik taraf kemudahan sekolah bagi menyokong proses pembelajaran yang lebih holistik untuk para pelajar.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 masing-masing kepada SMK St Joseph dan Sekolah Menengah Swasta St Joseph hasil daripada kutipan larian sebelum ini.

Sementara itu, larian berkenaan dibahagikan kepada tiga kategori dengan semua peserta yang berjaya menamatkan larian akan menerima pingat penamat, manakala kategori 10 kilometer berpeluang menerima hadiah wang tunai bagi 10 pelari terbaik.

Yuran penyertaan ditetapkan pada kadar RM55 bagi kategori 1.4 kilometer serta 5 kilometer, manakala RM65 bagi kategori 10 kilometer dengan setiap peserta berdaftar akan menerima baju larian serta nombor bib.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Revolution Run Borneo di talian 082-459397, melayari laman web OJA di www.sjoba.org.my atau melalui laman Facebook rasmi Old Josephians Association.

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha